Cubaan larikan motosikal Honda EX5 gagal
JERANTUT - Cubaan seorang lelaki melarikan sebuah motosikal Honda EX5 gagal selepas dikejar kira-kira lima kilometer hingga terbabas di bahu jalan di hadapan kubur dekat Batu Balai di sini, pada awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mazlan Hassan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi di Kampung Damak di sini, pengadu yang juga seorang pemandu lori berusia 30 tahun menyedari kejadian itu selepas terdengar enjin motosikal dihidupkan.
"Pengadu kemudiannya terus bangun dan melihat motosikalnya telah tiada dan cuba mencari dengan memandu kereta sehingga ke sebuah stesen minyak.
"Semasa dalam perjalanan untuk balik ke rumah, pengadu telah terserempak dengan suspek dan cuba mengejarnya. Sampai di jalan hadapan kubur, Batu Balai, motosikal yang ditunggang suspek telah terbabas," kata beliau dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Mazlan, akibat terbabas suspek telah meninggalkan kenderaan tersebut di bahu jalan dan berjaya melarikan diri.
Tambah beliau, terdapat rakaman video daripada kamera papan pemuka kereta pengadu semasa kejadian berlaku.
"Usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A/511 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!