Kena marah dengan pelanggan adalah perkara biasa

Ira memilih kerjaya sebagai penghantar makanan melalui syarikat GrabFood kerana waktu kerja yang fleksibel.
Ira memilih kerjaya sebagai penghantar makanan melalui syarikat GrabFood kerana waktu kerja yang fleksibel.
A
A
A

JIKA anda tinggal di Lembah Klang, pasti akan terserempak dengan penghantar makanan bermotosikal. Tahukah anda bahawa pekerjaan itu nampak mudah, sebaliknya, banyak cabaran dan dugaan buat mereka yang berada dalam kerjaya itu.

Kena marah dan maki, itu perkara biasa. Justeru itu, buat seorang penghantar syarikat makanan yang terkenal, GrabFood, Mahirah Vadi, 31, atau Ira mengakui mana-mana penghantar makanan kena 'hati kering' dan berjiwa kental.

"Kena marah dan maki dengan pelanggan itu adalah perkara biasa yang kami kena hadap. Kalau sentap, kami tak akan bertahan lama dalam dunia pekerjaan ini.

"Kami terpaksa hadap karenah yang pelbagai terutamanya bila makanan yang dipesan sampai lewat. Kami bukan sengaja, kelewatan biasanya berlaku disebabkan faktor cuaca seperti hujan dan petir," katanya kepada wartawan Femina selepas menerima penghargaan atas kejayaan mendapat pesanan tertinggi makanan daripada GrabFood di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Anak jati Segambut, Kuala Lumpur itu turut berkongsi pengalaman dia dimarahi pelanggan gara-gara makanan yang dipesan lambat sampai ke tangan mereka.

"Kebetulan ketika itu, saya perlu hantar dua pesanan. Penghantaran yang kedua jadi lambat. Pelanggan tersebut marah saya dan beri markah rendah.

"Dia buat muka tak puas hati dan terus tutup pintu rumah. Saya kira situasi ini benar-benar uji kesabaran namun saya kena hadapinya dengan tenang," katanya yang memulakan penghantaran pada pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Bagi mengelak dimarahi pelanggan, dia seboleh-bolehnya akan memastikan pesanan yang dibuat pelanggan sampai tepat pada waktu yang dijanjikan.

Artikel Berkaitan:

Ketakutan dan kerisauan akan mengganggu emosinya selagi makanan yang dipesan belum sampai ke tangan pelanggan.

"Saya memang risau dan takut jika makanan yang nak dihantar sampai lambat. Itu satu tanggungjawab dan amanah syarikat buat saya.

"Bukan apa, saya takut makanan dah sejuk, rosak atau tercicir. Sehari kami kena hantar banyak pesanan, bimbang jika pesanan tertukar dengan pelanggan lain" katanya.

Minat menunggang motosikal

Ira yang sudah kehilangan ayah dan ibu memberitahu, beliau dan motosikal memang tidak dapat dipisahkan

"Sejak dahulu lagi minat saya terhadap motosikal terlalu mendalam. Mana-mana destinasi yang saya akan pergi, saya akan tunggang motosikal," katanya.

Berkenaan penerimaan keluarga terhadap pekerjaannya itu, Ira yang masih bujang berkata, lapan adik-beradiknya tidak pernah menghalang ketika beliau menyatakan hasrat untuk bekerja sebagai penghantar makanan.

"Mereka sokong minat saya ini bahkan mereka sentiasa beri kata-kata semangat pada saya asalkan pekerjaan yang dilakukan ini menyeronokkan dan dapat menyara kehidupan sendiri dan membantu keluarga," katanya.

Ira bersama rakan sekerja, Nazleen Zulkifle, 36, yang berhati kental dan tidak mudah patah semangat saat dimarahi pelanggan.
Ira bersama rakan sekerja, Nazleen Zulkifle, 36, yang berhati kental dan tidak mudah patah semangat saat dimarahi pelanggan.

Raih pendapatan lumayan

Ira mula memilih pekerjaan itu sejak tiga tahun lalu selepas mengetahui pendapatan yang bakal diperoleh sangat lumayan.

"Jumlah gaji saya, biar saya seorang yang tahu kerana bagi saya nampak lumayan, barangkali pada orang lain tidak," katanya.

Seperti rakan sekerja yang lain, Ira juga berpendapat, jadual bekerjanya boleh diatur mengikut kesesuaian masanya.

"Ya, saya tidak terikat dan saya boleh pilih jadual kerja bergantung kepada keperluan dan kehendak saya.

"Jika saya ada hal kecemasan, saya boleh lari sekejap dan sambung balik kerja. Lagipun, saya memang suka bekerja di luar, bukan hanya 'tertakluk' di pejabat semata-mata," kata wanita yang kelihatan sangat aktif dan tangkas itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!