PRN: Muda lancar manifesto, ambil pendekatan realistik
PETALING JAYA - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengambil pendekatan realistik dalam pemilihan manifestonya kali ini yang dikenali sebagai Kertas Hitam Muda II bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) bulan depan.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, manifesto yang dilancarkan hari ini bersifat sebagai idea, solusi dan cadangan penambahbaikan kepada mana-mana pihak yang bakal menerajui kepimpinan kerajaan negeri.
"Muda perlu realistik ini adalah idealisme yang kita ingin kongsikan sebab untuk Muda mengambil alih mana-mana negeri memang mustahil kerana kita tidak bertanding 10 peratus pun jumlah kerusi, jadi kami ingin menggariskan idea-idea, cadangan-cadangan penambahbaikan yang boleh diketengahkan.
"Muda akan ketengahkan (manifesto) ini sebagai solusi kami, jadi jika kami berada dan menjadi suara rakyat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seperti yang saya kata kita tiada jumlah untuk membentuk kerajaan tetapi kami ada idea dan penambahbaikan yang boleh dicadangkan," katanya ketika Pelancaran Manifesto Muda di bilik gerakan utama Muda di sini hari ini.
Beliau berkata, manifesto pada kali ini mengetengahkan empat perkara utama yang memberi penekanan kepada reformasi institusi pentadbiran di peringkat negeri selaras dengan agenda 'Politik Baru' dibawa parti itu iaitu Prorakyat, Telus dan Inklusif; suara lantang anak muda; pendigitalan ekonomi dan perkhidmatan kerajaan serta pemeliharaan alam sekitar.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!