Warga emas Orang Asli hilang ditemukan meninggal dunia

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KUANTAN - Warga emas Orang Asli yang dilaporkan hilang di Kampung Chekai, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau, Kuala Lipis, kira-kira 230 kilometer dari sini, ditemukan meninggal dunia hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, mayat Bah Mail Pak Gendet, 76, ditemukan oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 1.05 petang kira-kira 10 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

"Mayat mangsa kini telah dibawa ke Hospital Lipis dan pengecaman dilakukan oleh anaknya berdasarkan cincin, parang, serangkai kunci dan pakaiannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR yang memasuki hari ke-10 itu disertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung ditamatkan pada 6 petang.

Sebelum ini, Bah Mail dilaporkan hilang selepas keluar rumah sekitar 8 pagi, 9 Julai lepas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!