UPNP gempur lokasi perlombongan bauksit tanpa pajakan
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) berjaya menumpaskan satu aktiviti perlombongan bahan mineral dipercayai bauksit tanpa lesen atau pajakan yang sah di satu lokasi di sini pada petang Khamis.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kegiatan terbabit dikesan susulan maklumat yang diterima sepasukan anggota Pasukan Elit UPNP ketika menjalankan rondaan di sekitar daerah ini pada jam 2.15 petang.
"Intipan yang dilakukan mendapati dua jengkaut dan tiga lori tripper digunakan ketika aktiviti perlombongan itu berjalan sebelum serbuan dibuat.
"Pegawai Penguatkuasa UPNP kemudiannya meminta pengusaha lombong mengemukakan sebarang kelulusan bagi aktiviti memunggah bahan mineral tersebut, namun gagal," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Wan Rosdy berkata, enam lelaki telah ditahan dan dua jengkaut serta tiga buah lori tipper telah disita di lokasi kejadian.
Tambahnya, kes ini kemudiannya disiasat di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001.
"Saya ingin tegaskan bahawa kerajaan Pahang sentiasa melaksanakan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti penerokaan tanah secara secara tidak sah atau apa juga aktiviti-aktiviti yang menyalahi peraturan yang telah ditetapkan.
"Kerajaan Pahang juga akan mengambil tindakan yang tegas tanpa sebarang kompromi supaya aktiviti-aktiviti yang menyalahi peraturan ini dapat dibanteras dengan sehabis-habisnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!