Siasat dokumen Lynas sebelum tarik lesen
KUANTAN – Kerajaan PH diminta menyiasat dokumen perjanjian Lynas sebelum membuat keputusan menarik balik lesen yang diberikan kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).
Pengerusi Save Malaysia Stop Lynas (SMSL), Tan Bun Teet berkata, siasatan itu perlu dilakukan oleh Menteri Tenaga,Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin dengan memanggil ketua pengarah, Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi mendapatkan gambaran lebih jelas isi kandungan dokumen perjanjian tersebut.
Menurutnya, langkah itu perlu dilakukan bagi memastikan Lynas mematuhi syarat perjanjian dan tidak terus menipu rakyat dengan situasi sebegini.
“Kita mahu ketua pengarah AELB dan IAEA dipanggil bagi membuat semakan terhadap dokumen Lynas yang kemungkinan turut membincangkan soal penghantaran sisa radioaktif itu.
“Selepas semakan dibuat dan jika benar Lynas melanggar syarat yang termaktub dalam dokumen terbabit, sewajarnya ketiga lesen iaitu pengoperasian, penyimpanan sisa dan pengeksportan yang diberikan kepada Lynas ditarik dan operasi mereka perlu ditamatkan serta merta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Sinar Harian diminta mengulas mengenai pendirian Australia menolak tawaran kerajaan Malaysia untuk menghantar balik sisa pembuangan radioaktif daripada kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.
Menteri Perhubungan Industri, Tenaga, Petroleum dan Perlombongan Australia Barat, Bill Johnston, mengakui bahawa jalan terbaik untuk memusnahkan sisa berkenaan ialah dengan membawanya balik ke tempat asal, tetapi berkata Australia Barat tidak akan sama sekali menerima sisa itu dari luar negara.
“Secara umum, tempat terbaik untuk bahan yang tercemar ialah dari mana bahan itu berasal, yang dalam hal ini ia akan menjadi terbatal, kerana kami tidak mengambil sisa buangan dari luar negara,” katanya kepada agensi berita The Australian.
Nadir bumi yang diproses di kilang di Lynas, Kuantan digelar sebagai ‘Lynas Advanced Material Plant (Lamp), berasal daripada Mount Weld, Australia Barat.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Bun Teet berkata, dalam hal ini, pihaknya tidak boleh menyalahkan Lynas, sebaliknya mungkin ada tipu helah daripada agensi yang terlibat dalam menguruskan perkara ini.
Jelasnya, kerajaan PH perlu menyelesaikan segera masalah ini dan selagi ia gagal diselesaikan operasi Lynas perlu dihalang.
“Perkara ini sudah lama berlaku sebenarnya.. seingat saya kali pertama pada 2012 bila kerajaan Australia memberi jawapan yang sama.. namun pada bulan September tahun sama, lesen diberikan semula kepada Lynas.
“Jadi, kita rayu kepada kerajaan PH selagi perkara ini tidak selesai, jangan luluskan sebarang permit atau lesen kepada Lynas,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, Lynas sudah menandatangani surat aku janji untuk menghantar pulang sisa radioaktifnya ke negara asal iaitu Australia.
“Tapi mereka tidak bersungguh-sungguh menepati janji itu.. malah mereka menolak untuk menerima sisa itu sedangkan bahan asal sisa Lynas dari Australia.. Malaysia seolah-olah kena tipu dari awal Lynas masuk ke Malaysia.
“Dalam keadaan sebegini, apabila kerajaan Malaysia perlu bertanggungjawab mengurus sisa radioaktif tersebut... saya kira adalah amat wajar sekiranya Lynas tidak boleh dibenarkan mengeluarkan sisa itu lagi,” katanya.
Sebelum ini, Bee Yin, sudah meminta Lynas menghantar balik sisa berkenaan ke Australia sebagai syarat pelesenan, khususnya dalam sisa ‘Water Leach Purification’ (WLP).
Fasiliti Lynas menghasilkan dua jenis sisa iaitu WLP radioaktif dan bahan bukan radioaktif ‘neutralisation underflow’ (NUF).
Sejak Disember lalu, sisa WLP yang terkumpul di Lynas mencatat 451,564 tan, manakala sisa NUF dilaporkan berjumlah 1.113 juta tan.
Lynas sudah berusaha mengubah NUF menjadi produk komersial, namun kajian perintis mendapati penggunaannya sebagai baja membawa kepada peningkatan tahap logam berat, walaupun dalam tahap yang dibenarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!