Teguran raja-raja Melayu perlu dijunjung

Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

MUKA depan Sinar Harian pada Khamis memaparkan tajuk ‘Titah Raja Melayu’. Ia mengambil titah empat raja Melayu termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Maal Hijrah 1445H.

Yang di-Pertuan Agong menitahkan rakyat Malaysia supaya menjauhkan budaya fitnah, hasad dengki dan prasangka yang tidak mendatangkan faedah kepada bangsa dan negara.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula berharap agar rakyat Malaysia melakukan penghijrahan minda dengan mengubah budaya bermusuhan kepada berkawan.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menegur sentimen mementingkan diri, semangat berpuak-puak dan bermusuhan disebabkan perbezaan fahaman politik kepartian dalam kalangan masyarakat.

Sementara Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah tidak perkenan dengan perbuatan menggunakan platform masjid sebagai tempat berpolitik sehingga menimbulkan tidak keharmonian dalam kalangan umat Islam.

Keempat-empat titah tersebut menyentuh isu keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia yang dilihat semakin terhakis.

Titah baginda ada benarnya. Kita boleh melihat sendiri bagaimana keharmonian masyarakat terjejas akibat perbuatan fitnah dan hasad dengki. Pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat berterusan menyerang ‘musuh politik’ dengan fitnah.

Bahkan, menjelang pilihan raya negeri tidak lama lagi, ada pemimpin berani memainkan isu sentimen yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan Raja Berperlembagaan.

Tidak sekadar pemimpin, rakyat Malaysia juga terdedah dengan perbuatan fitnah apabila secara mudah menyebar berita tidak benar di media sosial.

Jelas sekali budaya negatif itu semakin menular dalam kalangan rakyat Malaysia. Amalan negatif itu tidak memberi faedah kepada negara, sedangkan sepatutnya kita perlu berpadu tenaga membangunkan semula ekonomi negara selepas pulih daripada pandemik Covid-19.

Justeru, titah raja-raja Melayu tersebut tidak seharusnya dipandang ringan. Sudah tiba masanya pemimpin dan rakyat Malaysia berhijrah, mencari jalan untuk berdamai.

Hayati titah raja-raja Melayu itu kerana baginda merupakan pelindung kepada rakyat dan sudah tentu mahukan negara di bawah naungannya terus hidup dalam harmoni.

ARTIKEL BERKAITAN:Maal Hijrah: Sultan Kedah titah jangan bangkit isu gugat perpaduan

Maal Hijrah: Jauhi hasad dengki, amalan fitnah - Agong

Doa Sultan Nazrin, hijrah bersengketa kepada berdamai

Hayati titah Raja-Raja Melayu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!