Annuar dakwa PM guna isu hutang peneroka nak raih sokongan

Annuar (kanan) semasa Wacana Islamophobia & Membina Malaysia Sejahtera di salah sebuah hotel di sini.
Annuar (kanan) semasa Wacana Islamophobia & Membina Malaysia Sejahtera di salah sebuah hotel di sini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sekali lagi isu pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) terus menjadi bahan perbincangan dalam kalangan pemimpin politik berbaki 23 hari lagi sebelum pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Ramai pemimpin baik dari kerajaan mahupun pembangkang masing-masing tampil mengeluarkan kenyataan mengenai penyelesaian hutang peneroka Felda yang kini menjadi pertikaian kedua-dua pihak berkenaan.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menggunakan isu pelupusan hutang peneroka Felda semata-mata untuk meraih sokongan daripada golongan berkenaan.

Justeru Annuar berkata, ahli Parlimen Tambun itu diminta untuk tidak menggunakan isu berkenaan demi kepentingan tertentu.

"Nak nama supaya orang Felda sokong...carilah modal lain. Banyak lagi benda boleh buat untuk Felda kalau nak ambil hati orang Felda," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sesi soal jawab semasa Wacana Islamophobia & Membina Malaysia Sejahtera di salah sebuah hotel di sini.

Program berkenaan turut membariskan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai panelis dan Pendakwah terkenal, Professor Dr Ridhuan Tee Abdullah selaku moderator.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau juga berasa was-was mengenai hantaran dokumen dimuat naik Anwar yang dikatakan sebagai bukti Perdana Menteri yang menghapus kira hutang peneroka Felda.

"Perkara itu (hutang penghapusan peneroka) telah dibawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu sudah pun selesai.

"Perdana Menteri muat naik di Facebook itu adalah dokumen mengenai pengeluaran sukuk bukannya dokumen penghapusan hutang peneroka (Felda)," dakwanya.

Isu ini bermula ketika Anwar mendakwa langkah melupuskan hutang peneroka tidak dibuat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini dan perkara itu berterusan sehingga beliau mengambil alih kerajaan sewaktu Hari Peneroka pada 7 Julai lalu.

Sebelum itu pada tahun 2021, Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion secara bersyarat.

Persetujuan tersebut mengambil kira isu hutang peneroka yang disifatkan harus diperbetulkan terlebih dahulu untuk memudahcarakan proses penjanaan semula atau Felda.

Rentetan itu, Muhyiddin mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Anwar berhubung kenyataan mengenai pelupusan hutang Felda selain menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Perdana Menteri.

Pada Khamis, Anwar mengemukakan bukti bahawa beliau menandatangani surat atau dokumen selaku Menteri Kewangan bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjumlah RM8.3 bilion.

Dokumen itu adalah sebahagian dokumen perjanjian Assignment for Financial Service Reserve Account (FSRA) terkait Jaminan Kerajaan kepada Felda.

Pada hari sama, Kementerian Kewangan (MOF) mengesahkan FSRA telah ditandatangani oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lalu.

MOF memaklumkan perjanjian itu melibatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM9.9 bilion kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman agensi tersebut melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!