Kane tak minat kekal bersama Spurs
PENYERANG Tottenham Hotspur, Harry Kane tidak berminat untuk terus kekal dan menolak tawaran kontrak baharu bersama kelab itu.
Kapten England itu memasuki tahun terakhir kontraknya bersama Spurs dan besar kemungkinan dia akan berpindah secara percuma pada tahun depan sekiranya tidak menandatangani perjanjian baharu.
Bagaimanapun, Spurs berharap dapat memastikan pemain berusia 29 tahun yang kini penjaring terbanyak sepanjang masa untuk kelab dan negaranya bersetuju dengan kontrak baharu yang dikemukakan.
Pasukan gergasi Jerman, Bayern Munich sedang mengintai peluang untuk membawa Kane ke Bundesliga selepas mengemukakan beberapa tawaran terbaharu bernilai £68.5 juta (RM401 juta).
Namun, Spurs dilaporkan enggan menjualnya dengan harga kurang £100 juta (RM586 juta) selain berharap dapat melanjutkan perjanjian baharu dengan peningkatan gaji £300,000 (RM1.75 juta) seminggu.
Sumber rapat dengan pemain itu mendakwa semua pilihan masih boleh dirundingkan dan menimbangkan perpindahan jika Tottenham tidak mahu menanggung risiko memasuki musim baharu tanpa menandatangani kontrak baharu.
Tottenham boleh menggunakan tawaran lebih baik daripada juara Jerman itu untuk memperkuatkan semula skuad Ange Postecoglou selepas berdepan kemerosotan prestasi musim lalu yang menyaksikan mereka menduduki tangga kelapan Liga Perdana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!