Ibu tunggal penternak kambing berjaya

Perak SADC membantunya selain JPV dan FAMA

A
A
A

Zuriati berjaya membina sebuah kandang di tanah milik bapa di Pondok Tanjung dan menternak lebih 300 kambing
Zuriati berjaya membina sebuah kandang di tanah milik bapa di Pondok Tanjung dan menternak lebih 300 kambing

TAIPING - Minat mendalam terhadap bidang penternakan mendorong seorang bekas ejen insurans memelihara kambing sebagai sumber pendapatan utama keluarganya.

Daripada penternak kampung, Zuriati Mohd Zabidi, 55, kini mengusahakan ladang ternakan kambing baka Boer dan Kalahari di Pusat Ternakan Boer Nasional Pondok Tanjung di sini.

"Bermula dengan sembilan ekor, percubaan 15 tahun lalu itu mula memberangsangkan. Kami membina sebuah kandang di tanah milik bapa di Pondok Tanjung dan berjaya menternak lebih 300 kambing.

"Selepas berdaftar di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak, pelbagai ilmu yang diterima berkaitan penternakan serta pemasaran produk," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Zuriati yang juga ibu tunggal kepada lima anak itu mengakui menceburi bidang penternakan mempunyai cabarannya tersendiri.

"Saya pernah mengalami kejatuhan. Namun, saya lihat ia sebagai satu pengalaman apabila kami mula menguruskan pelbagai perkara termasuk makanan, baik pulih kandang dan pembelian anak kambing dengan menggunakan modal sendiri," katanya.

Anak jati Pondok Tanjung itu berkata, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) antara agensi yang membantunya selain JPV dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang membantu perkembangan Idklaz Farm.

"Perak SADC membantu dengan pemberian pembiayaan sebanyak RM50,000 tanpa faedah. Kami dapat mengharungi tempoh pandemik dengan membeli anak kambing dan keperluan lain.

No Image Caption

"Kami juga melahirkan produk sejuk beku kambing perap di bawah jenama Idklaz PT Lamb yang turut mendapat bimbingan daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Produk sulung kami ini diedarkan melalui ejen yang dilantik sekitar Lembah Kelang, Kedah dan Pulau Pinang serta promosi menerusi laman sosial," katanya.

Apabila kerajaan negeri memperkenalkan pelan Perak Sejahtera 2030, Zuriati turut menerima manfaatnya bagi memastikan matlamat bekalan makanan mencukupi dengan pengeluaran yang stabil itu dapat dicapai.

"Saya tertarik dengan agenda kerajaan negeri untuk mengurangkan kebergantungan makanan import yang diakui memberi kesan kepada penjualan ternakan.

"Apabila ternakan kambing dan lembu diimport dari luar, ia menyukarkan kami untuk bertahan kerana pelanggan memilih ternakan import yang jauh lebih murah," ujarnya.

Bagi pelan jangka panjang, Zuriati dalam proses mendapatkan paten Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan sijil halal bagi produknya selain mahu menjadikan ladang ternakannya sebagai tarikan agro pelancongan negeri.

.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!