Promosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim

Nigel
Nigel
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia memerlukan strategi baharu untuk mempromosikan negara ini sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim yang mampu milik.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, perkara itu perlu diberi penekanan oleh semua pemain industri pelancongan ketika ini.

Menurutnya, fokus perlu diberikan kepada pengalaman produk baharu yang sedang dibangunkan oleh pemain industri pelancongan di Malaysia.

"Bahan dan mesej promosi perlu segar dan mantap... dapatkan bakat kreatif yang lebih muda untuk menghasilkan mesej promosi yang sesuai dengan generasi baharu pengembara.

"Pastikan video pendek dan menarik serta cipta kempen pemasaran yang berbeza untuk menyasarkan demografi pelancong yang berbeza," katanya kepada Sinar Harian.

Media melaporkan, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tahap perkhidmatan sektor pelancongan negara dalam semua aspek perlu ditambah baik supaya ia dapat memberi pulangan besar kepada negara kerana sektor pelancongan merupakan salah satu industri perkhidmatan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi.

Mengulas lanjut, Nigel berkata, MATTA menyokong penuh komitmen menteri bagi menambah baik sektor pelancongan negara dan berharap kerajaan mengambil kira keperluan untuk meminda Akta Industri Pelancongan 1992 dan Peraturan- Peraturan Industri Pelancongan (Perlesenan dan Pemantauan Pemandu Pelancong) agar lebih relevan pada masa kini.

Katanya, kegagalan untuk memodenkan akta tersebut menimbulkan kesulitan kepada pemegang lesen sah pengendali pelancong semasa pandemik Covid-19 lalu.

"Tribunal Pengguna secara tidak adil menghukum ejen pelancongan berdasarkan tafsiran mereka terhadap Peraturan (Jadual Ke-4). Keputusan tribunal di pelbagai negeri juga tidak konsisten.

"Jadi, MATTA berharap beliau akan membantu memacu perubahan penting ini secepat mungkin," katanya.

Beliau juga menambah, tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap pengendali pelancong tidak berlesen juga perlu dibuat.

"Kerajaan tidak dapat mengawal industri dengan berkesan dan ini menyebabkan pengendali tidak berlesen mengambil kesempatan.

"Agensi kerajaan perlu lebih cekap dan kurang birokrasi dalam hal pelesenan dan pengeluaran permit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!