Institusi diraja bukan bahan politik - Penganalisis
SHAH ALAM - Pemimpin politik diingatkan supaya tidak menyentuh kedudukan dan peranan Raja-Raja Melayu dalam sebarang perbalahan politik.
Penganalisis sosio politik Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, isu 3R (agama, raja dan kaum) adalah topik sensitif yang melibatkan soal perlembagaan serta kepentingan negara.
Menurutnya, ia boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap institusi diraja seperti tidak adil dan berpihak kepada parti-parti tertentu.
“Yang ketiga, institusi diraja itu seolah-olah tidak ada integriti, ini sangat bahaya. Macam kes Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) terhadap Raja Selangor, bacaan atau tafsiran boleh pelbagai, hasil kesan daripada kenyataan tersebut.
“Kita tahu latar belakang seseorang itu berbeza, jadi tafsiran juga berbeza namun apabila mempertikaikan soal itu, ia seolah-olah pandangan terhadap institusi diraja itu menjadi negatif,” katanya kepada Sinar Harian.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah anjuran Perikatan Nasional (PN) didakwa mengeluarkan kenyataan yang dikatakan menghina Sultan Selangor.
Pada Selasa, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi mengesahkan Muhammad Sanusi di sebuah hotel di Mont Kiara, Kuala Lumpur awal pagi Selasa.
Dalam pada itu, menurut Awang Azman, pendakwaan Muhammad Sanusi itu sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua pihak terutamanya parti politik agar tidak mengulangi perkara yang sama.
“Pada masa yang sama, pihak kerajaan seperti agensi keselamatan negara perlu lebih tegas menangani isu seumpama ini agar tidak mewabak teruk.
"Parti-parti politik tanpa mengira ideologi pula perlu mengingatkan kembali dan perlu memberi panduan kepada kepimpinan mereka, ahli sama ada peringkat pertengahan dan akar umbi mereka agar tidak menyentuh isu-isu sensitif,” ujarnya.
Tambahnya, peranan dan kepentingan institusi diraja lebih besar daripada kepentingan individu atau pemimpin politik tertentu.
“Ia satu institusi yang dihormati negara yang memainkan peranan malah dianggap sebagai benteng terakhir orang Melayu, perlu terus dipastikan tidak diganggu-gugat oleh mana-mana pihak menggunakan sentimen tersebut.
“Sama ada secara besar atau kecil itu bukan satu keutamaan, yang penting isu tersebut tidak digunakan semata-mata untuk menunjukkan kelebihan atau kelemahan pemimpin yang mana melibatkan institusi diraja,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!