Anwar puji resolusi UNHRC berkaitan pembakaran al-Quran di Sweden
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memuji resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) minggu lepas berikutan insiden pembakaran al-Quran di luar masjid di Stockholm ketika perayaan Aidiladha.
UNHRC telah menerima pakai satu resolusi ‘membendung kebencian terhadap agama yang mencetuskan hasutan untuk mendiskriminasi, permusuhan atau keganasan’ pada 12 Julai dan antara 47 ahli majlis, 28 negara anggota mengundi menyokong resolusi tersebut termasuk Malaysia, 12 menentang manakala tujuh berkecuali.
Bagaimanapun, Anwar berkata, adalah sesuatu yang malang apabila setiap langkah progresif yang diambil bagi menentang Islamofobia, ia menyalakan api kebencian dalam kalangan mereka yang berselindung di sebalik hak kebebasan bersuara, seperti yang ditunjukkan negara anggota yang menentangnya.
"Walaupun UNHRC dengan berani menentang kebencian ini, saya berharap para penentang melihat semula pilihan mereka itu, dengan melakukan segala yang termampu untuk memastikan tindakan dan kata-kata mereka itu tidak menjadi penghalang, ketidakadilan, terhadap badan mulia yang disertai atau hak asasi manusia yang mereka pertahankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berselindung tanpa rasa malu di sebalik kebebasan bersuara, membolehkannya disalah guna dalam mewajarkan kebencian dan kekejaman daripada menentang kezaliman.
"Sebagaimana kita menolak totalitarianisme melampau, tanggapan ekstremis mengenai kebebasan juga memudaratkan masyarakat, yang boleh membawa kepada pelanggaran berterusan terhadap hak orang lain untuk hidup dan selamat," katanya.
Sementara itu Anwar mengucapkan tahniah kepada kerajaan Sweden kerana mengambil pendirian tegas terhadap Islamofobia dan berharap untuk melihat polis Sweden mengambil pendirian yang sama ketika mereka menjalankan siasatan.
"Kemudaratan dan kesakitan yang disebabkan oleh perbuatan sesetengah pihak hanya boleh diimbangi oleh kita yang lain, secara bersama, dan memilih untuk saling menghormati, mengambil berat dan menunjukkan belas ehsan, dan mencari persefahaman," katanya.
Perdana Menteri berkata, Islamofobia umpama racun yang mengancam dunia Barat sama seperti ia mengancam umat Islam di mana-mana negara mereka tinggal.
"Ia satu pencanggahan, di samping kesemua kebencian dan xenofobia yang tidak logik, dalam mencapai matlamat yang dikongsi semua masyarakat.
"Kita tidak boleh menyelesaikan isu ini dengan membakar dan menghina kitab masing-masing, tetapi dengan membacanya dan berdialog," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!