Peringatan Tun Daim kepada kerajaan PH
SHAH ALAM - Di sebalik dakwaan oleh Perdana Menteri terdapat penjawat awam cuba mensabotaj pentadbiran PH, penasihatnya, Tun Daim Zainuddin mengingatkan mereka supaya mempercayai kumpulan itu jika ingin terus berkuasa.
Daim, dalam satu temu bual dengan South China Morning Post (SCMP) yang beribu pejabat di Hong Kong berkata, bahkan kerajaan akan 'mati' jika ia tidak mula bekerja bersama dengan lebih 1.6 juta tenaga perkhidmatan awam. "Sekarang kamu adalah kerajaan. Apabila kamu menjadi kerajaan, kamu perlu membuat kerja dengan baik. Kamu tidak boleh buat kerja sendiri-sendiri, penjawat awam adalah pelaksana, bukan kamu.
"Kamu merancang dasar, kemudian kamu kata (kepada penjawat awam) kamu ambil alih. (Apabila) kamu tidak mempercayai mereka, mereka duduk sahajalah," kata bekas ketua Majlis Penasihat Negara itu yang dipetik dalam wawancara yang diterbitkan hari ini.
Daim berkata, beliau tidak mengetahui tentang dakwaan kerajaan telah disabotaj oleh pihak tertentu dalam pentadbiran kerajaan namun menegaskan usaha untuk mengukuhkan kepercayaan perlu dilakukan.
“Tentang (dakwaan disabotaj) saya tidak tahu tetapi anda perlu bekerja dengan mereka. Tanpa mereka kamu mati.
"Ada penjawat awam datang berjumpa dengan saya dan mereka mengatakan menteri tidak mempercayai dia dan mereka (yang dilantik secara politik) mengendalikan kementerian.
"Bagaimana mereka mengendalikan kementerian? Mereka orang luar. Saya telah beritahu menteri bahawa perkhidmatan awam sudah wujud sejak zaman British.
"Sejak British datang, mereka bawa bersama perkhidmatan awam. Dan kini anda membuang mereka ? Anda tidak boleh," kata beliau.
Tegas Daim, penjawat awam dan keluarga mereka juga adalah pengundi.
"Saya telah beritahu mereka, anda suka atau tidak, ada 1.6 penjawat awam dan mereka dibayar gaji setiap hari. Boleh anda bayangkan, termasuk isteri dan seorang anak, anda dalam masalah," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!