Cabaran baharu Onana bersama United

Onana memegang jersi Manchester United buat kali pertama bersama ejennya Albert Botines dan Jordi Pascual. - Foto AGENSI
Onana memegang jersi Manchester United buat kali pertama bersama ejennya Albert Botines dan Jordi Pascual. - Foto AGENSI
A
A
A

ANDRE Onana mengesahkan meninggalkan kelab Serie A, Inter Milan untuk menyertai Manchester United, kata penjaga gol Cameroon tersebut menjelang perpindahan ke gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

Menurut Sky Sports, pemain berusia 27 tahun itu telah melengkapkan ujian perubatan bersama kelab Liga Perdana Inggeris tersebut, akan menjadi ahli keluarga besar pengendali Erik ten Hag itu dengan bayaran 51 juta Euro termasuk tambahan empat juta Euro.

"Saya jatuh cinta dengan San Siro, la Curva dan bandar. Kini ia keadaan yang sesuai untuk saya memulakan perjalanan baharu di Manchester.

"Saya melakukannya dengan penuh semangat, tetapi mengetahui bahawa saya akan merindui anda. Terima kasih yang tidak terhingga untuk semua interisti. Anda menjadikan kelab ini hebat," kata Onana dalam satu kenyataan yang ditujukan kepada penyokong Inter.

Onana tiba di Inter pada Julai 2022 dari gergasi Eredivisie Belanda, Ajax Amsterdam segera menjadi penjaga gol pilihan pengendali Simone Inzaghi.

Dia menjadi tumpuan dalam kempen yang berakhir dengan Inter memenangi kedua-dua Piala Itali dan Piala Super. Mereka juga mara ke final Liga Juara-Juara.

Onana kelihatan juga menjadi penjaga gol pilihan utama jangka panjang untuk Cameroon, namun memutuskan bersara daripada tugas antarabangsa selepas bermain hanya satu perlawanan di Piala Dunia 2022, apabila digantung atas sebab disiplin.

Sebagai rekod melakukan 34 penampilan untuk sensasi Indomitable Lions mengantikan penjaga gol utama United, David de Gea.

Ten Hag pernah bekerjasama dengan Onana semasa mengendalikan Ajax dan corak permainannya menepati falsafah pengendali United itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!