Musim monsun di Pakistan ragut 101 nyawa, 180 cedera
ISLAMABAD - Kira-kira 101 orang terbunuh dan 180 lagi cedera sejak musim tengkujuh bermula pada 25 Jun lalu di Pakistan, lapor Xinhua memetik Lembaga Pengurusan Bencana Negara (NDMA) negara ini.
Wilayah Punjab yang terletak di bahagian timur negara itu paling teruk dilanda, menyaksikan 57 korban dan 118 cedera, manakala sebanyak 53 rumah musnah akibat hujan lebat yang melanda wilayah itu, termasuk di Lahore, kata NDMA pada Khamis.
Ketua Menteri sementara Punjab, Mohsin Naqvi, berkata hujan di Lahore menyebabkan banjir di bandar itu dan menjejaskan lalu lintas selama berjam-jam.
Bandar Rawalpindi turut dilanda hujan lebat lebih 12 jam pada Rabu, mengakibatkan peningkatan paras air sungai serta longkang dan pihak berkuasa perbandaran tempatan terpaksa meminta bantuan tentera.
Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh pada Rabu selepas tembok jambatan yang sedang dalam pembinaan runtuh.
Menurut jurucakap pentadbiran daerah, sebanyak 200 milimeter (mm) hujan direkodkan di beberapa kawasan.
"Seramai 25 orang terbunuh dan 41 lagi cedera dalam insiden berasingan berkaitan hujan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa," kata NDMA.
Hujan lebat turut merosakkan 60 rumah dan 43 ternakan mati di wilayah itu.
Pada awal bulan Jun, 10 orang terbunuh dan dua lagi cedera apabila petir menyambar sebuah rumah semasa ribut petir di wilayah Sindh.
Enam orang terbunuh, manakala 13 yang lain cedera di wilayah Balochistan dan di Kashmir yang ditadbir Pakistan pula tiga dilaporkan maut dan lima cedera akibat hujan lebat melanda, menurut NDMA. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!