Kemboja larang jual, minum alkohol semasa PRU

Hun Manet mengambil swafoto dengan penyokong semasa perhimpunan kempen di Phnom Penh. - Foto AFP
Hun Manet mengambil swafoto dengan penyokong semasa perhimpunan kempen di Phnom Penh. - Foto AFP
A
A
A

PHNOM PENH - Kerajaan Kemboja mengeluarkan arahan melarang penjualan dan meminum semua jenis alkohol selama dua hari, pada 22 dan 23 Julai, sempena pilihan raya umum di negara Asia Tenggara itu.

Ditandatangani oleh Perdana Menteri, Samdech Techo Hun Sen dan dikeluarkan kepada media pada Jumaat, arahan itu bertujuan mencegah gangguan sosial dan memastikan pilihan raya pada 23 Julai berjalan dalam suasana bebas dan adil tanpa keganasan dan intimidasi.

"Semua rakyat Kemboja, warga asing, peniaga dan penjual di Kemboja... mesti menggantung penjualan dan minum arak sehari sebelum hari pilihan raya dan pada hari pilihan raya pada 22 hingga 23 Julai," menurut arahan itu.

Sebanyak 18 parti politik akan bertanding untuk merebut 125 kerusi Dewan Rakyat dan lebih 9.7 juta orang layak mengundi, menurut Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan (NEC).

Pada pilihan raya umum lima tahun lepas, Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen memenangi kesemua 125 kerusi yang dipertandingkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!