Muhammad Nur Aiman, Siti Nur Adibah sukar dicabar
PELUMBA Johor, Muhammad Nur Aiman Rosli dan Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad ternyata sukar dicabar apabila mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut dalam acara ujian masa individu (ITT) di Kejohanan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan yang berlangsung di Melaka pada Jumaat.
Muhammad Nur Aiman berjaya merekodkan catatan masa keseluruhan 56 minit 24.093 saat (s) pada perlumbaan sejauh 45 kilometer (km) itu melibatkan tiga pusingan.
Bagaimanapun, bekas pelumba Team Sapura Cycling (TSC) itu dicabar hebat Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff dengan catatan masa 57 minit 3.876s dan dan Nur Amirull Fakhruddin Mazuki (1 jam 36.481s) yang mengakhiri perlumbaan di kedudukan kedua dan ketiga.
Bagi Muhammad Nur Aiman, dugaan yang dihadapi termasuk ketiadaan pasukan TSC pada kejohanan kali ini tidak mematahkan semangatnya untuk mempertahankan kejuaraan tersebut.
“Alhamdulillah... saya dapat kekalkan kejuaraan kali keempat berturut-turut. Kali ini saya lebih bersemangat memburu kejuaraan selepas macam-macam dugaan saya hadapi termasuk ketiadaan pasukan (TSC) tahun ini.
“Apapun saya bersyukur kerana masih lagi dapat kekalkan kejuaraan dalam acara ITT. Kemenangan ini untuk negeri kelahiran saya, Johor dan saya akan cuba kekalkan sekali lagi kejuaraan ini tahun depan.
“Sepanjang perlumbaan, saya hanya fokus untuk menampilkan kayuhan terbaik. Alhamdulillah kerana saya dapat mengekalkan rentak kayuhan dalam ketiga-tiga pusingan dengan purata kelajuan 47.871km/j," katanya.
Dalam pada itu, Siti Nur Adibah memenangi emas dengan catatan masa keseluruhan 46 minit 30.652s, Yeong Zhen Yi di kedudukan kedua (47 minit 02.944s) diikuti wakil Perak, Nyo Ci Hui yang menamatkan perlumbaan sejauh 30km itu menerusi catatan 47:34.209s.
“Sebelum perlumbaan bermula, saya memang letak sasaran untuk pertahan kejuaraan dalam acara ITT ini tetapi saya sedar, untuk mengekalkan kejuaraan bukan mudah berbanding jika kita memburu gelaran buat kali pertama.
“Jadi sebaik perlumbaan bermula, saya hanya cuba melakukan yang terbaik. Saya juga dah jangka akan mendapat saingan sengit daripada Zhen, sebab kami sama-sama sudah tahu kekuatan masing-masing,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!