Jawatankuasa Pilihan Khas siasat undang-undang imigran terlarang

William Leong Jee Keen
William Leong Jee Keen
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi akan melaksanakan prosiding bagi menyiasat beberapa perkara yang menjadi asas kepada insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Jun lalu.

Antaranya penambahbaikan undang-undang tentang imigran terlarang, proses kendalian notis penolakan masuk dan masalah komunikasi di antara pegawai imigresen serta pelancong.

Selain itu, pelantikan syarikat swasta dalam mengendalikan pelancong yang dikenakan notis penolakan masuk dan peluang individu atau kumpulan untuk menjalankan amalan rasuah seperti termaktub di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen (1959/63).

Pengerusinya, William Leong Jee Keen berkata, siasatan itu dijalankan untuk memahami kekangan kepada undang-undang sedia ada dan memberikan cadangan kepada kerajaan berkaitan penambahbaikan atau pindaan kepada Akta Imigresen (Akta 155).

“Perlu ditegaskan bahawa prosiding ini tidak akan menjalankan apa-apa siasatan terhadap kemungkinan seseorang individu melakukan amalan rasuah.

“Siasatan tersebut akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku badan yang bertanggungjawab melakukan siasatan jenayah.

“Ia adalah untuk melihat kepada keseluruhan sistem dan pengendalian imigran-imigran larangan, proses penolakan masuk serta penambahbaikan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sinar Harian pada 30 Jun melaporkan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjalankan siasatan berhubung insiden tular dilaporkan beberapa media tempatan berhubung dakwaan seorang menteri membuat kecoh, difahamkan cuba 'menyelamatkan' seorang individu warganegara China yang ditahan pihak berkuasa sebaik sahaja tiba masuk ke negara ini.

Mengulas lanjut, William berkata, prosiding itu dibahagikan kepada tiga bahagian yang mana sesi pertama dihadiri oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Malaysian Association of Tour and Travel Agents (MATTA), sesi kedua oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) serta ketiga daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Tiga sesi iaitu satu sesi pada 24 Julai, jam 2.30 hingga 4.30 petang dan dua sesi pada 26 Julai jam 2.30 hingga 4.00 petang serta 4.30 hingga 6.00 petang,” katanya.

Ujar beliau, segala bentuk penemuan seterusnya akan dikaji bagi membentuk cadangan kepada kerajaan dalam penambahbaikan sistem dan undang-undang sedia ada.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!