Sanusi putar belit, buat dua kenyataan berbeza
SHAH ALAM - Angkatan Muda Harapan menyifatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melakukan dua kesalahan nyata dan jelas berhubung kes menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ketuanya, Danial al-Rashid Harun berkata, kesalahan pertama adalah kenyataan yang diucapkan oleh Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu yang menghina institusi kesultanan semasa berceramah di Selangor.
Kesalahan kedua katanya, Sanusi menyatakan telah mengemukakan surat permohonan maaf kepada Sultan Selangor tetapi ketika dihadapkan ke mahkamah, Menteri Besar Kedah itu mengaku tidak bersalah.
Menurutnya, persoalan yang timbul adalah kenapa Sanusi mengaku tidak bersalah, sedangkan beliau telah meletakkan satu asas bahawa dia sudah memohon ampun kepada Sultan.
"Apa semua ini tuan-tuan? Kalau sudah mohon ampun, sepatutnya sudah dikira bersalah.
"Sebaliknya dia (Sanusi) bertindak biadab sekali lagi di Mahkamah Sesyen Selayang dengan mengaku tidak bersalah.
"Ini satu perkara yang kita semua terutama anak-anak Selangor tidak boleh terima," katanya ketika berucap pada Himpunan Daulat Tuanku: Pertahan Institusi Diraja yang dianjurkan Pemuda Barisan Nasional (BN) Selangor dan Pemuda Pakatan Harapan (PH) Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat.
Perhimpunan tersebut disertai beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan dihadiri lebih 100 penyokong.
Hadir sama Ketua Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Hafiz Rahman.
Mengulas lanjut, Danial berkata, anak-anak Selangor mahukan Sanusi dihukum seadilnya dengan tindakan politik murahan dibuatnya.
Tegasnya, rakyat Selangor menolak sekeras-kerasnya parti atau pemimpin politik sumbang yang gemar membuat tohmahan dan pertuduhan melulu.
Malah menurutnya, cacian yang dilemparkan ke atas Sultan Selangor adalah satu perbuatan melampau.
Sementara itu Danial berkata, satu memorandum akan dihantar ke Istana Alam Shah pada Isnin ini bagi menyatakan sokongan penuh kepada Sultan Selangor.
Katanya, memorandum itu akan ditandatangani oleh pemimpin parti politik dan NGO yang menjunjung kasih kepada institusi kesultanan Selangor.
"Kami akan memastikan tekanan demi tekanan diberikan kepada Sanusi dan Perikatan Nasional (PN).
"Ia diharap dapat memberi pengajaran kepada semua agar sama sekali tidak menyentuh isu 3R iaitu agama, raja dan kaum apabila berpolitik," ujarnya.
Sementara itu, Mohd Hafiz berkata, Sanusi seharusnya menunjukkan contoh tauladan baik berdasarkan reputasinya sebagai pemimpin tertinggi.
Tegasnya, Menteri Besar Kedah itu harus faham apa yang boleh disentuh ketika berucap atau berkempen.
"Dia (Sanusi) perlu tunjuk contoh yang baik kepada kumpulan pengundi muda atau Undi-18 yang baru hendak berjinak dengan dunia politik.
"Tunjukkan politik bersih kepada kumpulan pengundi baharu dan bukannya secara mencaci atau memaki hamun.
"Oleh sebab itu, kita mahukan Sanusi dikenakan tindakan tegas dengan apa yang telah dia lakukan," ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN:MB Kedah ditahan
Muhammad Sanusi dibawa masuk menerusi laluan lokap mahkamah
Pertuduhan di mahkamah bunuh karier menjelang PRN - Sanusi
Bicara Sanusi secara adil, bebas cengkaman politik
Lujnah undang-undang urus kes Sanusi sebaik mungkin - Tuan Ibrahim
Laungan takbir bergema iringi Sanusi
Tindakan undang-undang ke atas Sanusi pengajaran buat semua - Pas
'Saya faham, tidak mengaku salah Yang Arif' - Sanusi
Polis rekod keterangan Guan Eng, Abdul Hadi isu 3R
Polis ambil keterangan Dr Mahathir
Kertas siasatan kes Tun M dirujuk ke Pejabat Peguam Negara
Sanusi hilang status MB, kerusi ADUN jika bersalah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!