'Saya rasai kemiskinan dan kesusahan'

Amirudin pernah tolak masuki sekolah berasrama penuh kerana masalah kewangan keluarga

A
A
A

DATUK SERI AMIRUDIN SHARI
DATUK SERI AMIRUDIN SHARI

Kemiskinan dan kesusahan bukannya satu situasi yang saya tidak dirasai, imbas Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, ketika mengimbas kehidupan zaman kanak-kanaknya.

Beliau bersama adik-beradiknya mengharungi hidup agak susah sebelum keadaan menjadi bertambah baik selepas mereka berjaya dalam pelajaran.

"Bapa saya seorang kakitangan kerajaan manakala ibu suri rumah, dan kadang-kadang membuat kerja-kerja sambilan dengan menoreh getah dan membuat pakaian atau menjahit baju.

"Itu memang latar belakang keluarga yang melahirkan saya dan kita hidup dalam suasana itu dengan penuh tabah bersama-sama," katanya yang berkongsi kisah hidupnya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Perubahan dalam keluarga

Bercerita lanjut, Amirudin berkata, perubahan hanya berlaku dalam keluarga selepas adik-beradiknya mendapat pekerjaan yang agak baik selepas berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

Bagaimanapun, sebelum itu beliau pernah menolak untuk memasuki sekolah berasrama penuh kerana memikirkan kemampuan keluarga yang terhad dan akur meneruskan pengajian di sekolah biasa.

"Jadi kemiskinan dan kesusahan ini saya lihat dan saya merasainya sendiri sehingga saya mengambil keputusan untuk tidak pergi ke sekolah berasrama.

"Keputusan itu kerana saya memikirkan mungkin keluarga tidak begitu berkemampuan menghantar anak ke asrama dan melengkapkan pelajaran di sekolah biasa sampai di tingkatan lima.

 Amirudin sendiri turut turun padang meninjau program Madani Afiat dan Jualan Ehsan Rakyat.
 Amirudin sendiri turut turun padang meninjau program Madani Afiat dan Jualan Ehsan Rakyat.

"Saya menitikberatkan aspek pendidikan ini kerana saya dapat melihat diri dan merasainya sendiri dalam keluarga," tambahnya.

Demikian antara perkongsian Amirudin sebelum berjaya menjadi seorang ahli politik dan Menteri Besar yang mempunyai pengaruh agak besar dalam arena politik tanah air ketika ini.

Amirudin merupakan anak kedua dari enam beradik yang memegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pembangunan Manusia dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau menyertai politik pada 2004 dan dinamakan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 2008 untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves (kini dinamakan semula DUN Sungai Tua) pada Pilihan Raya Umum Ke12 (PRU12).

Menangi kepercayaan

Walaupun pengalaman politiknya masih baharu, Amirudin, berusia 28 tahun ketika itu mampu memenangi kepercayaan rakyat dengan mendapat undian majoriti sebanyak 3,369 undi mengalahkan T. Mohan dari Barisan Nasional (BN) dan Azmi Hussain dari Pas.

Pada PRU13 tahun 2014, Amirudin mengekalkan kerusi berkenaan dan dilantik sebagai Ahli Majlis Eksekutif Negeri.

No Image Caption

Beliau memperoleh majoriti 3,261 undi dalam perlawanan tiga penjuru, mengalahkan N. Rawisandran (BN) dan G. Suman (Bebas).

Beliau kemudiannya dipertanggungjawabkan dalam portfolio Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi.

Dalam PRU14, Amirudin mengekalkan kerusi sama dengan memperoleh majoriti 11,374 undi mengalahkan N.Rawisandran (BN), Mohamad Ibrahim (Pas) dan Badrul Hisam Md Zin (Bebas).

Beliau adalah salah seorang daripada tiga ADUN yang dikekalkan sebagai Ahli Majlis Eksekutif Negeri dalam pentadbiran semasa dan diamanahkan dengan portfolio Pemberdayaan Generasi & Sukan Muda, Pembangunan Usahawan, dan Pembangunan Desa dan Desa Tradisional.

Amirudin juga merupakan pengurus pasukan bola sepak Selangor selama hampir dua tahun mengetuai pasukan itu ke dua final Piala Malaysia pada tahun 2015 dan 2016. Pasukan itu muncul sebagai juara pada 2015 dan naib juara pada 2016.

Selain itu, Selangor juga menjadi juara Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2016 di bawah kepimpinan Amirudin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!