Bertembung tarikh PRN, konsert Fantasia Bulan Salju tetap diteruskan
KUMPULAN Search tetap meneruskan konsert Fantasia Bulan Salju di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 12 Ogos depan, meskipun bertembung dengan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) pada hari sama.
Vokalis Search, Datuk Amy berkata, keputusan itu dibuat oleh penganjur, MIC Entertainment Group selepas mengambil kira beberapa perkara termasuk lokasi konsert tidak melibatkan negeri terbabit dalam PRN.
“Undian PRN bagi enam negeri jatuh pada tarikh sama dengan konsert Fantasia Bulan Salju. Kami dan penganjur duduk berbincang sama ada ingin menunda atau macam mana.
“Selepas membincangkan secara lebih terperinci, kami sepakat untuk meneruskan saja ikut jadual yang sudah ditetapkan,” katanya.
Dalam masa sama, kumpulan rock legenda yang turut membariskan Nasir Daud, Man Kidal, Hillary Ang dan pemain dram remaja, Naimi Daini dalam konsert tersebut tidak mahu menyusahkan peminat yang mungkin sudah membuat persiapan awal untuk hadir.
“Kami ingin memudahkan urusan semua orang. Memang tak ada perancangan untuk tunda atau batalkan konsert ini,” tegasnya.
Harga tiket konsert Fantasia Bulan Salju boleh didapati dengan harga RM128 hingga RM388 dan pembelian boleh dibuat menerusi laman web rwgenting.com dan my.bookmyshow.com.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!