Elak perbuatan umpat, caci pada musim pilihan raya

Teks khutbah Jumaat bertajuk 'Dosa mengumpat dan mencaci' yang dimuat naik di laman web JAIS.
Teks khutbah Jumaat bertajuk 'Dosa mengumpat dan mencaci' yang dimuat naik di laman web JAIS.
A
A
A

SHAH ALAM - Khutbah Jumaat di Selangor mengingatkan rakyat agar menghindari perbuatan mengumpat, mencela, mencaci, memaki hamun dan fitnah lebih-lebih lagi pada musim pilihan raya ini.

Khutbah Jumaat dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu memaklumkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sering menasihati umat Islam agar tidak terjerumus di dalam perbuatan terkutuk dan tercela ini.

Khutbah bertajuk 'Dosa mengumpat dan mencaci' itu turut memaklumkan, kebimbangan Sultan Sharafuddin jika amalan memfitnah serta caci-mencaci ini tidak dibendung, perpecahan umat Islam khususnya di Selangor akan menjadi semakin parah dan tidak terkawal.

"Perbuatan fitnah dan caci-mencaci ini menjadi lebih ketara dan dilakukan tanpa rasa takut serta malu kepada ALLAH SWT setiap kali menjelang pilihan raya, seolah-olah pesta yang menghalalkan mencaci maki, mengumpat dan memfitnah antara satu sama lain demi meraih sokongan dan undi dari rakyat," menurut teks khutbah berkenaan.

Khutbah itu memberitahu, Sultan Selangor juga pernah berpesan ketika pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 19 Jun lalu bahawa isu-isu berkaitan dengan kaum, agama dan institusi diraja tidak seharusnya diheret bagi dijadikan bahan berkempen.

Jelas khutbah itu, baginda menegaskan perkara berkenaan hanya menimbulkan perbalahan dan pertelingkahan dalam kalangan umat Islam.

"Islam amat mengutamakan keharmonian hidup bermasyarakat dan menekankan umatnya untuk sentiasa berbaik-baik sesama umat Islam dan bertoleransi dengan orang-orang bukan Islam mengikut lunas, batas serta akhlak Islam.

"Perlembagaan Persekutuan telah menjamin Islam sebagai agama Persekutuan dan ia akan tetap terpahat dan tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak," menurut khutbah berkenaan.

Selain itu, khutbah itu berpesan agar rakyat terus menyanjungi institusi diraja yang berperanan sebagai Ketua Agama bagi negeri-negeri dan mestilah dihormati dan ditaati sama ada suka atau sebaliknya selagi mereka patuh kepada perintah ALLAH serta tidak

menyuruh melakukan maksiat.

Selain itu, khutbah Jumaat turut meminta calon dan penyokong yang berkempen tidak mengambil kesempatan untuk memburuk-burukkan mana-mana pihak atau golongan tertentu dan sering menyalahkan orang lain.

"Berkempen dan berceramah dengan berhemah dengan menggariskan polisi-polisi yang akan dibawa untuk membantu rakyat mengatasi segala permasalahan dihadapi.

"Calon perlu menilai keupayaan dan prestasi diri masing-masing sepanjang perkhidmatan kepada rakyat dan seharusnya memikirkan bagaimana untuk memperbaiki ekonomi dan keharmonian masyarakat di bawah pimpinan mereka," ujar khutbah itu.

Sehubungan itu, khutbah itu mengingatkan calon yang bakal menjadi pemimpin Islam memberi panduan dan mengingatkan kepada pemimpin lain tidak menyalahgunakan kedudukan, pangkat dan kuasa untuk kepentingan diri atau kepentingan golongan tertentu.

Jelas khutbah itu, apabila pemimpin Islam tidak mempunyai sifat amanah dan jujur maka akan rosaklah masyarakat dipimpinnya hingga mengakibatkan penganut agama lain memandang rendah terhadap pemimpin Islam.

Selain itu, khutbah mengingatkan pentadbir masjid dan surau tidak menjadikan rumah ibadah sebagai medan propaganda dan politik kepartian.

Khutbah itu menegaskan, sebarang bahan penerbitan berunsur politik tidak boleh dibiarkan sebarannya di kawasan masjid serta surau apatah lagi membenarkan tokoh-tokoh politik menggunakannya untuk tujuan politik kepartian.

"Berilah peluang kepada ahli-ahli kariah masjid dan surau untuk dapat beribadah dan mengikuti pengajian dengan tenang dan aman.

"Pencerobohan dan ketidakpatuhan terhadap perkara ini adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan melanggar titah Sultan Selangor serta ketetapan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

"Tindakan boleh dikenakan terhadap sesiapa yang melanggar ketetapan ini di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan pegawai terlibat boleh dibatalkan pelantikannya oleh MAIS mengikut Peraturan-peraturan Masjid dan Surau (Negeri Selangor) 2017," kata khutbah itu.

CAPTION

Teks khutbah Jumaat bertajuk 'Dosa mengumpat dan mencaci' yang dimuat naik di laman web JAIS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!