Tunggakan gaji pemain KL City FC tidak benar

Bojan (kiri), bersama kapten KL City FC, Paulo Josue pada sidang media pra-perlawanan akhir Piala FA 2023 pada Jumaat.
Bojan (kiri), bersama kapten KL City FC, Paulo Josue pada sidang media pra-perlawanan akhir Piala FA 2023 pada Jumaat.
A
A
A

KHABAR angin berhubung tunggakan gaji selama tiga bulan dihadapi pemain-pemain skuad Kuala Lumpur City FC (KL City FC) adalah tidak benar.

Menurut pengendali skuad The City Boys, Bojan Hodak perkara sebenar yang berlaku hanyalah melibatkan sedikit kelewatan gaji tersebut.

"Perkara ini tidak benar. Hanya berlaku sedikit kelewatan sahaja dan ia tidak menjejaskan langsung persiapan kami.

"Malah, saya juga percaya kesemua pemain akan berikan 100 peratus apabila beraksi nanti.

"Kesemua pemain bersikap profesional dan nampak bersemangat untuk beraksi pada final ketiga berturut-turut mereka dalam tempoh tiga tahun," katanya pada sidang media pra-perlawanan akhir Piala FA 2023 pada Jumaat.

Untuk rekod, KL City FC menewaskan JDT 2-0 pada final Piala Malaysia 2021 sebelum tewas 0-3 kepada kelab Al Seeb pada final Piala AFC 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu Bojan mengakui lawan yang bakal ditemui pada pentas final Piala FA 2023 pada Sabtu merupakan pasukan terbaik dalam negara dalam tempoh beberapa tahun sejak kebelakangan ini.

Katanya, skuad Harimau Selatan itu bukan sahaja dibarisi pemain import yang berkualiti, malah dipenuhi pemain tempatan yang berkaliber.

"Dalam 17 perlawanan Liga Super, JDT belum lagi tewas dan ini membuktikan mereka adalah pasukan terbaik di Malaysia.

"Reputasi ini pasti berikan tekanan terhadap pasukan itu berbanding kami yang turun selaku pasukan `underdog' (bukan pilihan)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!