Selangor sasar 1,000 stesen cas kenderaan elektrik tahun ini
SHAH ALAM - Selangor menyasarkan menyediakan 1,000 stesen pengecasan kenderaan elektrik menjelang hujung tahun ini.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, langkah itu bagi menarik lebih ramai pengguna beralih kepada kenderaan elektrik yang berkonsep mesra alam dan dapat mengurangkan pembebasan karbon.
Menurutnya, kenderaan merupakan antara sektor terbesar menyumbang kepada pembebasan karbon yang menyebabkan pencemaran udara.
"Jadi kita kena atasinya kerana menjelang 2030, kita sasar mengurangkan pembebasan karbon sebanyak 45 peratus.
"Selain itu, target 2050 ialah ke arah sifar pembebasan karbon. Jadi, kita kena bermula dari sekarang untuk mencapai sasaran tersebut," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata, ketika ini terdapat 102 stesen pengecasan kenderaan elektrik dengan kawasan Majlis Perbandaran Sepang mencatat jumlah tertinggi dengan 29 stesen.
Ujarnya, usaha meningkatkan kemudahan itu sedang dipergiat terutama membabitkan kawasan Lembah Klang termasuk Shah Alam, Petaling Jaya, Ampang Jaya dan Subang Jaya.
"Perbincangan sedang berjalan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) selain penganjuran bengkel membabitkan 12 PBT di Selangor untuk penyediaan kemudahan itu.
“Kerajaan negeri merancang untuk seragamkan harga dengan menggunakan hanya satu aplikasi bagi tujuan konsistensi dan mengelak banyak aplikasi diwujudkan," katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan syarikat kenderaan elektrik, Tesla Inc akan membuka ibu pejabat, pusat servis, dan pusat pengalaman di Selangor pada tahun ini.
Amirudin berkata, kerajaan negeri menyambut baik dan bersedia memudah cara kemasukan tersebut selain memberitahu telah mengenal pasti beberapa lokasi operasi iaitu di daerah Petaling serta Sepang.
Amirudin berkata, kehadiran Tesla di Selangor menggambarkan keyakinan komuniti pelabur terhadap pentadbiran negeri berkenaan dan bakal menggalakkan lebih banyak syarikat antarabangsa menceburi bidang teknologi bateri untuk melabur di Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!