Nama Tengku Zafrul tak disenarai UMNO Selangor - Tok Mat
KUALA LUMPUR - UMNO Selangor tidak meletakkan nama Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam senarai calon yang diserahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, nama-nama calon dikemukakan oleh badan perhubungan negeri masing-masing sebelum disaring oleh pucuk pimpinan parti.
"Jadi terpulang kepada badan perhubungan (negeri) masing-masing untuk menamakan (calon).
"Kami di sini hanya menyaring, kalau sesuai kita akan berbincang semula dan secara persetujuan bersama akan pilih calon yang terbaik untuk mewakili parti," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon BN PRN Ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan berhubung nama Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu tidak diumum malam ini.
Sementara itu, ditanya sama ada senarai calon yang diumumkan telah dimuktamadkan sepenuhnya, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, ia boleh berubah sebelum hari penamaan calon pada 29 Julai ini.
"Wallahualam, tetapi kadang-kadang kalau dapat watikah (pencalonan), (boleh) tukar juga. Itu kita tidak tahu," ujarnya.
Sebelum ini, nama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu disebut-sebut akan mewakili BN pada PRN Selangor.
ARTIKEL BERKAITAN:
BN umum 107 calon tanding PRN enam negeri
PRN: BN hanya bertanding 12 kerusi di Selangor
PRN: Nor Hafizah sekali lagi diberi kepercayaan tanding
PRN: Tengku Zafrul akur keputusan pucuk pimpinan
PRN: BN pertaruh semula Tok Mat, Reezal Merican
PRN: Isteri, anak Isa Samad calon BN di Juasseh, Bagan Pinang
PRN: Bekas Timbalan Menteri tanding DUN Ajil
PRN: Dua bekas Menteri Besar Terengganu pertahan kerusi DUN
BN pertaruh calon 'heavyweight', status Tengku Zafrul masih samar-samar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!