Karate Asia: Hasrat Prem Kumar tidak kesampaian
HASRAT sandaran utama negara, S Prem Kumar untuk memperbaiki pencapaian pada edisi lalu tidak kesampaian apabila hanya berjaya mempertahankan pingat emas acara Kumite pada hari pembukaan Kejohanan Karate Asia ke-19, pada Jumaat.
Walaupun memperagakan aksi penuh bertenaga, atlet berusia 29 tahun itu terpaksa akur kepada pesaing dari Iran, Behnam Dehghanzadeh dengan keputusan 14-5 dalam aksi kategori bawah 55 kilogram (kg).
Keputusan itu sekali gus mengulangi pencapaiannya pada edisi lalu di Uzbekistan, Disember lalu.
Skuad negara turut menyumbang pingat gangsa menerusi Zakiah Adnan, 20, dalam acara Kumite Wanita bawah 61kg selepas tewas 3-4 kepada peserta Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sarah Alameri.
Ini merupakan penampilan kedua bagi pemenang pingat emas Sukan Malaysia (sukma) ke-20 itu di kejohanan Asia berkenaan.
Sementara itu, dua lagi wakil negara, Sree Sharmin Chandran dan S Geerijaieswaran Pillai terkandas seawal pusingan pertama.
Pada kejohanan yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu, seramai 388 atlet daripada 32 negara bertanding termasuk Jepun selaku juara bertahan.
Sebanyak 17 kategori dipertandingkan iaitu 11 kategori individu lelaki dan wanita dalam acara Kata dan Kumite mengikut kelas berat masing-masing dan enam kategori berpasukan Kata dan Kumite lelaki dan wanita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!