Anak pemandu lori raih emas sukan dunia di Berlin
KESEMPITAN hidup keluarga tidak menghalang Nur Asliza Mohd Sapri mencipta sejarah tersendiri apabila menyumbang emas dalam Sukan Olimpik Khas Dunia 2023 di Berlin, Jerman bulan lalu.
Nur Asliza, 18, pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Pasir Puteh di sini menunjukkan prestasi menggagumkan menerusi acara lontar peluru meskipun baru pertama kali menyertai kejohanan dunia.
Berkongsi kegembiraannya ketika ditemui pemberita pada Jumaat, anak kedua daripada lapan beradik itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada kedua ibu bapanya yang menjadi pendorong utama kejayaan berkenaan.
Menurutnya, bapa, Mohd Sapri Abdul Hamid, 49, yang menyara keluarga sebagai pemandu lori tunda dan ibu, Asmah Ismail, 47, bekerja pembantu kantin tidak pernah putus memberikan semangat untuknya beraksi cemerlang.
"Terima kasih kepada ibu bapa dan adik-beradik saya yang selalu ada di sisi. Juga kepada jurulatih dan guru-guru yang percaya kepada kemampuan diri saya.
"Saya harap kejayaan ini dapat membanggakan mereka," katanya selepas menerima kunjungan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah di kediamannya di Taman Taiping, Jalan Pasir Puteh.
Nur Asliza yang mengalami masalah pembelajaran memasang impian dapat menjalani latihan hingga ke luar negara bagi menyerlahkan lagi potensi supaya lebih kompetitif beraksi di pentas antarabangsa.
Selain lontar peluru, anak kelahiran Perak ini juga beraksi dalam olahraga 4x100, lempar cakera dan merejam lembing hingga pernah merebut gangsa pada Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Kebangsaan di Stadium Bukit Jalil, tahun lalu.
"Kalau dapat latihan di sekolah luar negara saya memang akan terima. Saya nak sertai lebih banyak kejohanan dunia dan harumkan nama Malaysia," katanya.
Sementara itu, Khairudin berkata, kerajaan negeri bercadang membantu mendapatkan sebuah rumah untuk keluarga Nur Asliza memandangkan kediaman sedia ada yang disewa kurang selesa didiami.
Jelasnya, bantuan diusahakan melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) akan membolehkan keluarga berkenaan tinggal lebih selesa dengan kadar sewaan lebih rendah sekitar RM124 sebulan.
"Kita cuba beri keutamaan supaya segala kekurangan keluarga ini dapat dibantu.
"Paling penting kita nak lihat keselesaan keluarga ini dapat memotivasikan anak-anaknya belajar dan menempa kejayaan dalam pelbagai bidang," katanya.
Beliau berharap, kejayaan Nur Asliza menjadi inspirasi kepada pelajar lain terutama berkeperluan khas untuk menonjolkan prestasi dan bakat dalam bidang-bidang tertentu.
"Kejayaan Nur Asliza satu pengiktirafan cukup besar kepada warga pendidik dan negeri Perak kerana walaupun dia ada permasalahan pembelajaran, tetapi telah menunjukkan pencapaian cukup tinggi dalam bidang sukan sebagai penyumbang pingat kepada Malaysia," katanya.
Dalam temasya Sukan Olimpik Khas Dunia 2023 yang berlangsung di Berlin, Jerman pada 17 hingga 25 Jun itu, Malaysia yang diwakili 22 atlet berjaya membutirkan empat pingat emas, empat perak dan sembilan gangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!