Rumah pusaka terbakar, tujuh beranak hilang tempat tinggal
ALOR GAJAH - [DIKEMAS KINI] Tujuh beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah pusaka yang didiami mereka di Kampung Sungai Petai di sini musnah dalam kebakaran pada Jumaat malam.
Bagaimanapun, kesemua penghuni termasuk kanak-kanak berusia enam tahun terselamat dalam kejadian pada jam 7 malam itu.
Mangsa yang bekerja sebagai pekerja am, Mohd Faizal Abu Hasan, 38, berkata, dia yang sedang menonton televisyen di ruang tamu tengah, dikejutkan dengan jeritan jiran.
Dia terkejut melihat api marak di ruang hadapan rumahnya dan segera keluar tanpa sempat menyelamatkan harta benda.
"Saya tergamam nampak api dan kebakaran begitu pantas berlalu. Jiran pun menjerit minta kami keluar selamatkan diri bersama ahli keluarga yang lain," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Petai di sini pada Jumaat.
Mohd Faizal berkata, dia hanya sempat memakai seluar untuk menyelamatkan diri sebelum melihat rumah pusaka mertuanya yang didiami sejak beberapa tahun lalu itu musnah terbakar.
Katanya, walaupun sedih kerana mengalami kerugian, dia bersyukur kerana insiden itu tidak mencederakan atau meragut nyawa mereka sekeluarga.
"Banyak barang-barang kenangan tidak dapat kami selamatkan dan anggaran kerugian belum dapat dipastikan lagi," katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 154101314778 atas nama Mohd Faizal Abu Hasan.
Sementara itu, Komander operasi, Penguasa Bomba Kanan (PBKll), Mohd Fadil Saidin berkata, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.13 malam.
Menurutnya, kerja-kerja memadamkan kebakaran turut dibantu BBP Alor Gajah sebelum operasi tamat pada jam 10.34 malam dan rumah separa kekal terbabit terbakar 90 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!