Iran tidak akan terima duta baharu Sweden
TEHERAN - Menteri Luar, Hossein Amir-Abdollahian menegaskan Iran tidak akan menerima Duta Sweden yang baharu berikutan tindakan Stockholm meluluskan permohonan aktivis untuk mencemarkan kitab suci al-Quran di negara Skandinavia itu.
Menurut Hossein, larangan itu berdasarkan arahan dikeluarkan Presiden Ebrahim Raeisi.
Tambah Hossein, misi diplomatik Sweden di Teheran telah ditamatkan sehingga negara itu mengambil langkah serius dan berkesan untuk menangani insiden bakar al-Quran yang dihalalkan atas nama kebebasan bersuara.
"Kami tidak akan menerima duta baharu Sweden yang dijangka tiba di Teheran dalam masa beberapa hari lagi.
"Dan kami juga tidak akan menghantar duta ke negara itu sebagai tanda protes," ujar Hossein.
Pada Khamis, pelarian Iraq, Salwan Momika sekali mencetuskan kemarahan dunia Islam apabila bertindak memijak dan menendang senaskhah salinan al-Quran di hadapan Kedutaan Iraq di Stockholm.
Bulan lalu, Salwan yang dipercayai bekas ejen Mossad (agensi perisikan Israel) bertindak membakar al-Quran di hadapan sebuah masjid di Stockholm semasa umat Islam meraikan Hari Raya Aidiladha. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!