Peluang kerja golongan belia
Belanjawan 2023 peruntukkan ruang penempatan pekerjaan di sektor awam dan swasta
SHAH ALAM – Kebajikan golongan belia terus diberi perhatian menerusi pelbagai inisiatif yang diumumkan pada Belanjawan 2023 Malaysia Madani pada Februari lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Golongan belia dibantu dalam menghadapi cabaran dan kos sara hidup termasuk potensi kerjaya dan masa depan.
Program MySTEP merupakan antara komponen yang menyediakan program pekerjaan jangka pendek secara kontrak di sektor awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dikelolakan oleh Agensi Laksana di bawah Kementerian Kewangan.
Peluang pekerjaan dalam kedua-dua sektor itu melibatkan pelbagai skim termasuk penempatan tetap, kontrak dan penawaran kerja kepada golongan belia.
Human Resource Development Corporation (HRD Corp) antara syarikat yang menyokong usaha kerajaan dalam membantu golongan belia mudah diterima dalam industri pekerjaan.
Namun Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Dawood menjelaskan, syarikat itu menerapkan skim praktikal tersendiri menerusi HRD Corp New Talent Programme yang tidak terikat dengan mana-mana inisiatif kerajaan.
Beliau berkata, program itu membuka peluang lanjutan kepada peserta yang sedang menjalani latihan praktikal untuk ditempatkan dalam syarikat secara tetap atau kontrak sekiranya memenuhi syarat-syarat ditetapkan.
"Kita juga akan memberi sokongan dan bimbingan dengan menawarkan program pembangunan kemahiran tambahan, peluang pengajaran dan pembelajaran serta sokongan mentor atau rakan sejawat dalam industri.
"Ini bertujuan untuk membantu mereka meningkatkan kebolehan untuk membina kerjaya yang kukuh.
"Mereka yang menjalani latihan praktikal di sini memperoleh jaminan dan kemungkinan membangun kerjaya dalam agensi kerajaan atau GLC," katanya.
Jaminan pekerjaan
Shahul berkata, kerajaan juga sedang berusaha mempromosikan kerjasama antara sektor awam dan swasta untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada belia dengan menawarkan skim atau program khas seperti latihan praktikal atau program permulaan kerjaya.
"HRD Corp terlibat secara langsung menerusi pembangunan modal insan dan program peningkatan kemahiran bagi memberi peluang kepada belia mendapat tempat dalam agensi kerajaan mahupun GLC," ujarnya.
HRD Corp menerusi Skim Latihan Industri (ITS) telah menyediakan 6,243 tempat latihan pada tahun 2022 dengan bantuan kewangan sebanyak RM10.97 juta.
Menerusi Skim Future Workers Training (FWT) pula, menawarkan 445 tempat latihan dengan bantuan kewangan sebanyak RM829,000.
"Bagi Januari hingga April 2023, terdapat 3,787 tempat latihan disediakan ITS dengan bantuan kewangan sebanyak RM7.42 juta, manakala FWT menawarkan 107 tempat latihan dengan bantuan sejumlah RM1.16 juta.
Skim Latihan Industri
Jela Shahul, ITS merupakan skim yang direka khas untuk memberi bantuan kewangan kepada pelatih yang menjalani latihan di organisasi perniagaan pilihan mereka.
Skim ini bertujuan untuk memberi pengalaman praktikal di sektor perniagaan selain memperkukuh kemahiran pelatih dalam persekitaran sebenar kerja.
"Menerusi ITS, pelatih diberi elaun bulanan maksimum RM500, peralatan perlindungan peribadi termasuk insurans sebagai perlindungan tambahan sekiranya berlaku kes kecemasan atau kemalangan yang tidak dijangka.
"Bantuan kewangan juga disediakan berdasarkan 20 peratus daripada baki levi semasa permohonan pertama tahun tersebut dibuat bagi meringankan beban mereka," jelasnya.
Skim Future Workers Training
FWT merupakan skim untuk memperkukuhkan latihan dan pembangunan tenaga kerja dalam memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang semakin mencabar.
"Skim ini dirancang khas untuk mempersiapkan pekerja masa depan yang kompeten dan berkemahiran yang relevan dengan keperluan pasaran pekerjaan semasa dan masa hadapan.
"FWT juga menekankan pembangunan kemahiran teknologi dan inovasi termasuk latihan dalam bidang teknologi maklumat, kecerdasan buatan, kecerdasan data, keupayaan siber dan bidang yang berkaitan revolusi Industri 4.0," katanya.
Selain itu menurut Shahul, HRD Corp turut menyediakan platform latihan dalam talian e-LATiH kepada belia.
Mereka boleh mengakses modul-modul latihan yang disediakan selain mengambil bahagian dalam latihan pada bila-bila masa yang sesuai dengan jadual.
"e-LATiH menawarkan pelbagai topik latihan yang relevan kepada golongan belia antaranya kemahiran teknologi, keusahawanan, kemahiran kepimpinan dan pengurusan diri," ujarnya.
REAKSI RAKYAT:
"Inisiatif ini membantu belia yang berusaha mendapatkan pekerjaan. Sekurang-kurangnya, mereka dapat menimba pengalaman sebelum memulakan kerjaya tetap.” - Mastura Mohd Yusof, 35.
"Latihan berbentuk kemahiran memang diperlukan majikan masa kini dan saya rasa ia perlu diperbanyakkan. Program ini memberi peluang peserta menimba pengalaman bekerja.” - Rohaida Abu, 30.
"Inisiatif ini buka lebih banyak peluang kerja dan pengalaman untuk pasaran pekerjaan di negara ini. Selain kadar upah yang berpatutan, saya harap program ini diteruskan.” - Susilawati Mardi, 36.
"Saya harap ia diperluaskan kepada bidang lain juga seperti industri profesional atau seumpamanya. Kadar elaun juga berpatutan kerana ia mengikut kelulusan individu.” - Shafawati Munirah Mohd Zin, 34.
"Saya harap selepas ini kerajaan mungkin boleh lanjutkan lagi tempoh perkhidmatan, dengan syarat sebelum mereka dapat pekerjaan tetap.” - Muhamad Aiman Asyraf Ezannee, 23.
"Kerjaya berkaitan kemahiran perlu diperbanyakkan agar peserta MySTEP memenuhi permintaan industri TVET. Tawaran gaji pula perlu mengikut kelulusan dan kemahiran.” - Azizi Adnan
INFOGRAFIK
Syarat kelayakan MySTEP
Sektor Awam:
- Warganegara Malaysia.
- 18 tahun ke atas.
- Lepasan Sekolah/ Lepasan SPM/ Lulusan Diploma/ Ijazah Sarjana Muda dan ke atas.
- Bagi golongan OKU, pelantikan adalah tertakluk kepada kementerian masing-masing.
GLC / GLIC / Rakan Strategik:
- Warganegara Malaysia.
- 18 tahun ke atas.
- Lepasan SPM/ Lulusan Diploma/ Ijazah Sarjana Muda dan ke atas.
- Bagi golongan OKU, pelantikan adalah tertakluk kepada GLC/GLIC/rakan strategik masing-masing.
Penempatan Pekerjaan
A. Dua saluran program penempatan di bawah MySTEP iaitu:
- Sektor Awam
- Di GLC, GLIC dan rakan strategik
B. Penempatan perkhidmatan Personel MySTEP adalah berdasarkan output tanpa tertakluk kepada waktu/ tempat/ jadual bertugas yang terpakai kepada pegawai awam.
C. Personel MySTEP yang ditempatkan di sektor awam tidak tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Awam 2012, Perintah-Perintah Am atau peraturan-peraturan yang berkuat kuasa ke atas pegawai awam.
D. Bagi GLC / GLIC / rakan strategik, penempatan adalah berdasarkan kepada struktur program penempatan GLC / GLIC / rakan strategik masing-masing.
E. Kuota khas sebanyak satu peratus kepada golongan OKU di dalam Sektor Awam / GLC / GLIC / rakan strategik.
Layari www.budget.gov.my/manfaat untuk mengetahui lebih lanjut cara untuk mendapatkan inisiatif ini dan meneroka lebih banyak peluang yang ditawarkan kerajaan kepada rakyat.
#Belanjawan 2023
#BelanjawanMADANI
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!