Naik lori ke ABPBH35, blazer gergasi Aina jadi bualan hangat
PENAMPILAN penyanyi Aina Abdul di karpet merah Anugerah Bintang Popular ke-35 (ABPBH35) sekali lagi menarik perhatian ramai dengan fesyen unik dibawakan.
Acara berprestij yang berlangsung di Istana Budaya itu menyaksikan Aina, 30, hadir menaiki lori lut sinar dan turun di hadapan pintu utama dengan mengenakan blazer saiz gergasi berona merah.
Luar jangka, tetapi itulah Aina yang sememangnya sinonim dengan fesyen-fesyen uniknya setiap kali menghadiri acara hiburan.
Mengulas tentang blazer bersaiz empat kaki lebar yang ditampilkan, penyanyi lagu Terus Hidup itu berkata, konsep blazer besar memberi keselesaan buatnya dan kerap menjadi pilihan sebelum ini.
“Kali ini saya mengambil inspirasi daripada konsep itu dan meminta pereka untuk menghasilkan blazer bersaiz empat kaki lebar.
“Oleh kerana penampilan saya tahun lalu dikecam kerana ketat, jadi kali ini saya memilih penampilan yang longgar," katanya yang mengambil masa tiga jam untuk bersiap.
Tidak hanya baju, tetapi kehadiran Aina dengan menaiki lori lut sinar bersama ‘glam team’ ke acara itu turut menjadi bualan hangat warga maya.
“Saya datang dengan lori bukan saja-saja, tetapi sebab baju itu memang tak muat dalam kereta. Jadi pilihan terbaik adalah dengan menaiki lori.
“Team saya ramai dan saya pula jenis nak gerak sama-sama, Jadi sewalah lori,” katanya.
Pada acara malam kemuncak itu, Aina dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Penyanyi Wanita Popular dan Lagu Paling Boom Popular ABPBH35.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!