Aksi biadab The 1975 undang kemarahan orang ramai

Tindakan biadab vokalis The 1975 iaitu Matty Healy ketika beraksi pada konsert The Good Vibes Festival 2023 terus mendapat kecaman ramai.
Tindakan biadab vokalis The 1975 iaitu Matty Healy ketika beraksi pada konsert The Good Vibes Festival 2023 terus mendapat kecaman ramai.
A
A
A

TINDAKAN biadab vokalis kumpulan The 1975 iaitu Matty Healy ketika beraksi pada konsert The Good Vibes Festival 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada malam Jumaat terus mendapat kecaman ramai.

Rata-ratanya meluahkan rasa marah dan kesal atas tindakan penyanyi tersebut yang secara terbuka melakukan aksi bercium sesama jenis, meneguk minuman keras dan mempertikaikan undang-undang Malaysia berkenaan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBTQ).

Matty yang dipercayai mabuk ketika membuat persembahan pada konsert tersebut lantang menyuarakan rasa tidak puas hatinya berhubung undang-undang LGBT di Malaysia dan menunjukkan protes dengan mencium mulut pemain bass kumpulan itu, Ross McDonalds.

Tidak hanya itu, tindakannya yang membawa dan meneguk minuman keras di pentas juga dilihat sebagai menghina rakyat Malaysia yang majoritinya adalah Muslim.

Walaupun persembahan tersebut dihentikan selepas insiden terbabit berlaku, ramai pihak menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap kumpulan dari Britain itu dan pihak penganjur yang terlibat.

Tindakan tersebut perlu dilakukan untuk memberi pengajaran kepada semua pihak agar perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

Pihak penganjur menerusi kenyataan dikeluarkan menyebut, pihaknya terpaksa memberhentikan acara kerana tidak mematuhi garis panduan sepatutnya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil memaklumkan akan memanggil penganjur festival berkenaan bagi membuat penjelasan berhubung insiden tersebut.

Terdahulu Media melaporkan persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

ARTIKEL BERKAITAN:

Aksi sangat biadab The 1975: Fahmi minta penganjur Good Vibes Festival 2023 beri penjelasan

Aksi sangat biadab The 1975: Pengunjung boleh tebus tiket kemasukan

Henti konsert The 1975 bukti kerajaan tegas - Penganalisis

Aksi sangat biadab The 1975: Polis panggil penganjur

Festival Good Vibes dibatalkan serta-merta - Fahmi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!