The 1975 disenarai hitam buat persembahan di Malaysia

Kumpulan muzik British, The 1975 disenarai hitam buat persembahan di Malaysia.
Kumpulan muzik British, The 1975 disenarai hitam buat persembahan di Malaysia.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (JK-PUSPAL) telah membuat keputusan untuk menyenaraihitamkan kumpulan muzik British, The 1975 daripada membuat sebarang persembahan di negara ini.

JK-PUSPAL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, perkara itu dibuat berikutan tindakan kumpulan berkenaan yang telah menghina, memperlekehkan undang-undang negara dan melanggar tatasusila rakyat Malaysia ketika mengadakan persembahan di Good Vibes Festival di Sepang semalam.

"KKD sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang melakukan provokasi serta melakukan aksi biadab dalam persembahan di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, KKD melalui JK-PUSPAL telah membuat laporan polis terhadap artis berkenaan dan pihak penganjur atas kecuaian serta kegagalan mereka mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan PUSPAL.

"Ketika permohonan dibuat, pihak penganjur telah memberi jaminan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap persembahan artis berkenaan,” menurut kenyataan itu lagi.

Sewaktu persembahan malam tadi, vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy dikatakan memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain berkelakuan lucah dan membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Aksi sangat biadab The 1975: Fahmi minta penganjur Good Vibes Festival 2023 beri penjelasan

Aksi sangat biadab The 1975: Pengunjung boleh tebus tiket kemasukan

Henti konsert The 1975 bukti kerajaan tegas - Penganalisis

Aksi sangat biadab The 1975: Polis panggil penganjur

Festival Good Vibes dibatalkan serta-merta - Fahmi