PRN: BN Kelantan ketepi nama besar, pertaruh muka baharu

Empat penyandang yang masih diberi mandat untuk bertanding pada PRN kali ini. Dari kiri; Adhan, Mohd Syahbuddin, Amran dan Ab Aziz.
Empat penyandang yang masih diberi mandat untuk bertanding pada PRN kali ini. Dari kiri; Adhan, Mohd Syahbuddin, Amran dan Ab Aziz.
A
A
A

KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) Kelantan membuat kejutan apabila mengetepikan nama besar untuk memberi laluan kepada muka-muka baharu dalam usaha menawan serambi Makkah pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos depan.

Pengumuman calon yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat menyaksikan tiada lagi kelibat Datuk Alwi Che Ahmad (Kok Lanas), Datuk Abdul Aziz Derashid (Kuala Balah) dan Bakri Mustapa (Gua Ipoh).

Bagaimanapun, empat penyandang masih diberi mandat untuk bertanding iaitu Mohd Syahbuddin Hashim (Galas), Amran Arifin (Paloh), Ab Aziz Yusoff (Nenggiri) dan Datuk Adhan Kechik (Bukit Bunga).

BN mengambil langkah berani dengan menampilkan ramai muka baharu pada PRN kali ini dalam usaha menarik sokongan rakyat kepada parti itu.

Antara calon muka baharu ialah empat Ketua UMNO Bahagian iaitu Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah (Pengkalan Kubor); Rantau Panjang, Datuk Akhbar Salim (Apam Putra); Bachok, Datuk Yusri Che Noh (Jelawat) dan Pasir Mas, Noor Hariri Mohamed Nor (Tendong).

Pada masa sama, BN turut memberikan kepercayaan kepada pemimpin wanita untuk menjadi calon iaitu Nik Normi Nik Ayub (Chempaka), Marshella Ali (Semerak), Zakiah Md Noor (Pantai Irama) dan Suzaini Adlina Sukri (Manek Urai).

Lain-lain muka baharu ialah Abdul Mannan Md Said (Wakaf Bahru), Haris Hussein (Kijang), Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin (Bunut Payong), Zahari Omar (Meranti), Mohamad Husain (Salor), Anuar Mohamad (Gual Periok), Azmi Ishak (Melor), Ahmad Deraman (Kok Lanas), Zuhairi Zakaria (Gual Ipoh), Mazli Mustafa (Kemahang), Datuk Hashim Ismail (Selising).

Sementara itu, Mohd Aliff Nasrol Mat Nasin (Gaal), Muhammad Fahrakan (Pulai Chondong), Mohd Fakaaruddin Ismail (Kemuning), Nasrul Kamaruzaman (Air Lanas), Mohd Yamiin Anuar Mat Zain (Kuala Balah), Dr Zuber Hasan (Guchil) dan Ahmad Firdaus Muhammad (Dabong).

Berpandukan kepada senarai calon ini, BN dijangka mampu menambah beberapa lagi kerusi pada PRN nanti.

Bagaimanapun semua itu terpulang kepada 1.4 juta rakyat negeri ini sama ada memilih 'Ppakat Pertahan' atau 'Acu Test Sepenggal' pada 12 Ogos nanti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!