Penduduk utara Selangor diharap tidak salah pilih pemimpin
SUNGAI BESAR - Penduduk di kawasan utara Selangor diharapkan untuk tidak salah memilih pemimpin dalam memastikan pembangunan negeri itu dapat diteruskan dalam Pilihan Raya Negeri (DUN) pada Ogos depan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penduduk khususnya di Parlimen Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang dan Kuala Selangor perlu mengekalkan pemimpin yang mempunyai watak yang baik bagi menerajui kawasan berkenaan dalam memberi kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan di Selangor.
"Kita mempunyai watak yang baik untuk terus memimpin... malam tadi saya telah mengumumkan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong, kita pilih Ustaz Khir (Mohamad Khir Ramli) dalam memberikan kemenangan kepada Kerajaan Perpaduan di Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Mini Karnival Usahawan Desa (KUD)@Sungai Besar dan Sentuhan Kasih Desa Selangor di Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam pada Sabtu yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Mini KUD yang dilaksanakan pada Sabtu merupakan antara satu terjemahan komitmen kerajaan, yang tidak pernah meminggirkan usahawan desa.
Mini KUD@Sungai Besar anjuran KKDW dari pukul 10 pagi hingga 10 malam yang berlangsung selama tiga hari akan berakhir pada Ahad. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!