Kerajaan negeri, Pusat perlu sehaluan demi pertumbuhan ekonomi

Kon Yeow (dua dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada Rafizi pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 Bersama Kerajaan Pulau Pinang pada Sabtu.
Kon Yeow (dua dari kiri) menyerahkan cenderahati kepada Rafizi pada Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 Bersama Kerajaan Pulau Pinang pada Sabtu.
A
A
A

BAYAN LEPAS - [DIKEMAS KINI] Pertumbuhan ekonomi negeri dan negara akan mudah berkembang dengan baik sekiranya kerajaan negeri sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, sekiranya kerajaan negeri dan Persekutuan 'senada', ia akan memudahkan untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi sesebuah negeri sebagaimana Pulau Pinang.

"Pulau Pinang sudah mempunyai pemain industri selama ini selain sudah mempunyai rangkaian global.

"Oleh demikian adalah lebih mudah untuk membina kekuatan itu dan membawanya ke peringkat seterusnya," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 Bersama Kerajaan Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar.

Selain itu Rafizi berkata, untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara baik, ia memerlukan kerjasama yang erat antara negeri dan Persekutuan kerana tiada mana-mana pihak boleh melakukannya sendiri.

"Negeri tidak boleh melakukannya sendiri dan Persekutuan tidak boleh melakukannya tanpa kerjasama negeri. Ini kita dapat lihat yang berlaku di Kedah.

"Pusat mempunyai pandangan berbeza seperti projek lapangan terbang kargo yang tidak berdaya maju dari segi ekonomi.

"Mereka (Kerajaan Kedah) mahu mendapatkan sokongan politik mereka sampai tidak peduli sama ada ia berdaya maju atau tidak. Mereka hanya mempolitikkannya sedangkan ini bukan bersifat politik, ia adalah soal daya maju ekonomi.

"Bayangkan jika di Pulau Pinang, kita berbeza kerajaan, maka semuanya akan dipolitikkan contohnya, Pusat dengan visinya terhadap perusahaan cip, sebaliknya kerajaan negeri mahu meneruskan projek tiga lagi lapangan terbang. Ia akan menjadi tidak sejajar sepenuhnya," katanya.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, Kementerian yang diterajui beliau akan memberikan sepenuh sokongan kepada projek-projek berkaitan pembangunan infrastruktur yang bakal dilaksanakan di Pulau Pinang.

"Kami akan sokong sepenuhnya pembangunan infrastruktur di Pulau Pinang.

"Ini kerana projek-projek untuk meningkatkan kapasiti pengankutan awam memang sedang dirunding dan dibangunkan secara bersama antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!