Perkasa ATM satu keperluan - Mohamad

Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan anugerah Pegawai Kadet Terbaik Tentera Darat Malaysia kepada Pegawai Rendah Kanan Khairul Faisal Hasanuddin, yang menerima Piala Seri Gagah Setia dan sebilah pedang kehormat pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2023 di Kem Perdana Sungai Besi, pada Sabtu. - Foto Bernama

A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dalam mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks, langkah memperkasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini menjadi satu keperluan buat kerajaan.

Beliau berkata, ATM perlu memiliki keupayaan dan tahap siap siaga yang tinggi bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin.

"Kita akan memperkasa ATM kerana ia satu keperluan bukan sahaja dari segi aset bahkan teknologi memandangkan geopolitik dan ancaman hari ini bukan lagi bersifat tradisional malah turut melibatkan isu seperti perubahan iklim serta dan terrorisme.

"Kebelakangan ini, perolehan aset penting seperti dron banyak membantu ATM dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara,” katanya kepada Bernama sebagai mengulas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu bahawa kerajaan perlu melipatgandakan usaha untuk terus memperkasa dan memodenkan ATM.

Al-Sultan Abdullah, selaku Pemerintah Tertinggi ATM, bertitah usaha itu adalah perlu berikutan dunia sedang menyaksikan pertembungan kuasa besar tradisional dengan kemunculan kuasa baharu sekali gus menuntut kepada pembentukan ATM yang boleh dipercayai, berteknologi tinggi dan berupaya diadaptasi bagi mendepani pelbagai bentuk ancaman.

"Saya bagi pihak Kementerian Pertahanan dan ATM menjunjung kasih titah Seri Paduka,” kata Mohamad. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!