Usaha PM diharap noktahkan isu kadar upah p-hailing
PETALING JAYA - Pertemuan yang diatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan syarikat p-hailing dalam masa seminggu bagi membincangkan kadar upah penghantar p-hailing membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan isu kebajikan pekerja sektor berkenaan.
Rata-rata penghantar p-hailing yang ditemui Bernama selepas sesi Temu Anwar di Program Himpunan Rider Madani @ Selangor di sini pada Sabtu mengharapkan supaya pertemuan itu dapat menoktahkan isu yang membelenggu mereka sejak sekian lama.
Seorang pekerja p-hailing, Putra Muhamad Luqmanul Hakim Zahid, 30, berkata, perbincangan antara Anwar dan wakil syarikat-syarikat berkenaan merupakan inisiatif yang baik dalam memastikan suara golongan pekerja dapat diutarakan dan seterusnya jalan penyelesaian dapat dicapai.
"Saya harap perbincangan ini dapat selesaikan isu kadar (upah) yang rendah supaya rider tidak rasa terbeban dan terus tertekan dengan upah semasa," katanya yang mula berkecimpung dalam industri itu sejak dua tahun lepas.
Seorang lagi penghantar, Syafiq Norlan, 31, berkata, perbincangan yang bakal diadakan itu diharap dapat membantu pekerja p-hailing mendapatkan upah yang setimpal dengan hasil usaha titik peluh mereka.
Beliau yang telah bekerja dalam industri itu selama lebih setahun juga berterima kasih atas inisiatif Perdana Menteri itu.
Selain itu, pekerja p-hailing, Logesh Kumar pula menyifatkan, pengumuman Perdana Menteri mengenai peruntukan RM1 juta untuk penubuhan jawatankuasa bagi menyelaras isu kebajikan pekerja sektor itu sebagai langkah permulaan yang baik dalam memastikan kebajikan mereka terpelihara.
"Baguslah (tubuh jawatankuasa) untuk riders sebab boleh jadi wakil untuk kita, jumpa dengan kerajaan, bincang masalah (yang dihadapi pekerja p-hailing). Bila ada wakil ini, kerajaan dapat dengar masalah-masalah kita kemudian boleh bantu kita (mencari jalan penyelesaian)," katanya yang bekerja sebagai penghantar p-hailing bermula dua tahun lepas.
Terdahulu, Perdana Menteri dalam sesi temu Anwar di Program Himpunan Rider Madani @ Selangor meminta tempoh seminggu untuk beliau bertemu dengan semua syarikat p-hailing bagi membincangkan isu berkaitan kadar upah pengambilan dan penghantaran yang dikatakan semakin rendah.
Dalam majlis yang dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan kira-kira 5,000 penghantar p-hailing seluruh Selangor itu, Perdana Menteri berkata, beliau mahu mendapatkan penjelasan secara langsung daripada syarikat berkenaan berhubung situasi itu yang dilihat agak membebankan pekerja p-hailing.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan RM1 juta bagi pelantikan sekretariat tidak rasmi (informal secretariat) untuk menyelaras isu berkaitan penghantar p-hailing dalam usaha memastikan kebajikan pekerja industri itu terus terpelihara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!