JKNJ siasat dakwaan bayi terjatuh akibat kecuaian
JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang ibu bahawa bayinya mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohtar Pungut berkata, pihak hospital kesal dengan apa yang berlaku dan meminta mana-mana pihak tidak membuat sebarang andaian berhubung insiden itu.
"JKNJ ingin merujuk kepada paparan menerusi media sosial Facebook 'Sis Azie' dan platform media sosial yang lain bertarikh 18 Julai mengenai insiden bayi terjatuh sewaktu menerima rawatan di HSI Johor Bahru. Pihak hospital berasa kesal terhadap insiden yang berlaku.
"Satu perjumpaan bersama ibu bapa (bayi) diadakan pada 17 Julai lalu dan penerangan diberikan berkenaan insiden, keadaan bayi serta rawatan selepas kejadian.
"Untuk makluman, keadaan bayi adalah stabil dan berada dalam pemantauan rapi pihak hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, tular di media sosial seorang bayi berusia dua bulan dipercayai mengalami pendarahan di bahagian otak dan retak tulang kepala belah kiri disyaki akibat kecuaian jururawat di sebuah hospital di Johor Bahru, Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!