Miti jangka angka perdagangan April bertambah baik

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angka perdagangan Malaysia pada April dijangka bertambah baik walaupun ketegangan perdagangan global semakin buruk, khususnya antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

“Terdapat sedikit penurunan dalam prestasi keseluruhan import dan eksport Malaysia, tetapi kami mengambil perhatian bahawa kadar penurunan perdagangan pada Februari lebih tinggi daripada Mac, apabila kita lihat pada perbandingan tahun ke tahun, Mac bertambah baik berbanding Februari

“Itu mungkin menandakan angka perdagangan mungkin bertambah baik lagi pada April,” katanya pada sidang media selepas melancarkan SEMICON Asia Tenggara 2019 di sini, hari ini.

Kian Ming menjelaskan kenyataan terbaru Presiden AS, Donald Trump berhubung rundingan perdagangan tidak akan menjejaskan jumlah sebenar perdagangan Malaysia bagi jangka pendek.

“Untuk impak selanjutnya ke atas Malaysia, kami perlu tunggu dan lihat apa dasar sebenar akan diumumkan oleh kerajaan AS dan kerajaan China daripada perspektif tarif,” katanya.

Reaksi pasaran merupakan jangka pendek dan jika esok China dan AS mengumumkan resolusi positif, pasaran akan meningkat, katanya.

Eksport Malaysia merosot 0.5 peratus kepada RM84 bilion pada Mac 2019 daripada setahun sebelumnya berikutan jualan produk elektrik dan elektronik dan barang berasaskan komoditi negara berkurangan.

Perdagangan negara pada Februari 2019 menyusut 7.2 peratus kepada RM122.15 bilion berbanding pada Februari 2018.

Artikel Berkaitan:

Kian Ming berkata dalam jangka masa panjang, ketegangan berlarutan antara dua ekonomi besar itu adalah tidak positif kepada Malaysia kerana negara amat bergantung kepada perdagangan dengan kedua-dua negara.

"Sebarang kesan negatif terhadap perdagangan antara AS dan China akan memberi kesan negatif jangka panjang kepada perdagangan Malaysia secara keseluruhan. Kami berharap akan ada keputusan positif supaya perang tarif ini dapat dielakkan, "katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Datuk Azman Mahmud berkata agensi itu mengharapkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM13 bilion dalam segmen elektrik dan elektronik untuk 2019.

"Angka itu berdasarkan pada pelaburan domestik dan asing dan sama ada ketegangan perdagangan antara AS dan China masih merupakan isu yang berlarutan, tetapi kami tidak dapat meramalkan masa depan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!