Seorang maut, seorang lagi parah langgar kereta buat pusingan U

Seorang pemuda maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 73 Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Kluang pada Sabtu.
Seorang pemuda maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 73 Jalan Johor Bahru-Air Hitam, Kluang pada Sabtu.
A
A
A

KLUANG - Seorang pemuda maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal ditunggangi kedua-duanya berlanggar dengan sebuah kenderaan yang membuat pusingan U di Kilometer 73 Jalan Johor Bahru-Air Hitam dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pada jam 8 pagi itu melibatkan motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha 135LC dengan sebuah kereta.

"Hasil siasatan awal mendapati motosikal jenis Honda Wave dan Yamaha 135LC itu dari arah Johor Bahru menghala ke Ayer Hitam dan Simpang Renggam.

"Semasa kejadian kedua-dua penunggang motosikal itu disyaki mengelak kereta yang membuat pusingan U lalu bergesel antara satu sama lain sebelum melanggar kereta berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu penunggang motosikal Honda Wave, Azmi Mohamad, 44, beralamat di Simpang Renggam cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, penunggang motosikal Yamaha 135LC, Muhamad Azri, 24, juga beralamat di Simpang Renggam, cedera di kepala dan kini di rawat zon kuning di Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di sini.

Dakwanya, pemandu kereta berkenaan yang tidak dapat dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya melarikan diri.

"Usaha mengesan kereta dan pemandunya yang dikatakan punca kemalangan tersebut sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!