Kerusi DUN Lenggeng: UMNO harap Amanah hormati keputusan
SEREMBAN - UMNO Negeri Sembilan berharap Parti Amanah Negara (Amanah) menghormati keputusan Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan yang memutuskan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng diberi kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, semangat kerjasama dan saling memahami perlu menjadi pegangan semua peringkat parti sekali gus bagi memastikan kemenangan kepada gabungan itu.
"Itu dah diputuskan dan ia memihak kepada Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini memohon tambahan dua kerusi tetapi setelah dipertimbangkan dalam jangka masa yang agak panjang maka hanya satu kerusi tambahan diberikan iaitu DUN Lenggeng.
"Saya berpegang kepada keputusan itu. Presiden BN juga sudah umumkan calon yang bakal bertanding di DUN Lenggeng.
"Jadi saya harap persefahaman antara Pakatan Harapan (PH) dan BN dapat kita terima serta praktikan secara persefahaman dalam kita hadapi PRN ini," katanya ditemui pemberita di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan Pemuda Amanah Negeri Sembilan yang berhasrat menghantar calon di DUN Kota selepas UMNO bertanding di DUN Lenggeng.
Menurut Naib Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Ahmad Shukri Kamaruddin, rasionalnya adalah bagi memastikan parti Amanah ini terus kekal relevan khususnya di Negeri Sembilan dan menegaskan bahawa parti itu bukanlah sebuah parti yang mudah diperkotak-katikkan oleh lawan mahupun kawan.
Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, percaya semua parti akan menghormati keputusan tersebut.
"Ini kerana kita sedia maklum, siapa pun akan perjuangkan untuk dapatkan kerusi tambahan, tetapi akhirnya keputusan akan dibuat oleh Majlis Presiden, oleh ketua kita.
"Kalau mereka kata hendak menghantar calon di kerusi yang ditandingi oleh BN, saya juga akan hadapi masalah kerana pengikut-pengikut saya akan ambil pendekatan sama," katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tidak wujud istilah calon anak-beranak berikutan pemilihan Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan anaknya Mohd Najib Mohd Isa sebagai calon kali ini.
Ini kerana jelasnya, pemilihan dibuat berdasarkan kriteria calon yang terbaik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!