Tapisan teliti perlu dilakukan terhadap penghibur luar negara - Saifuddin
BALING - Penapisan yang lebih teliti selain pemprofilan latar belakang harus dilaksanakan terhadap penghibur luar, sebelum mereka dibenarkan membuat persembahan di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, walaupun kerajaan mengamalkan pendekatan mesra dalam menerima mana-mana penghibur atau artis untuk melakukan persembahan, namun ia tidak boleh sesekali menggadaikan sistem nilai, budaya dan pertimbangan agama di negara ini.
"Dari sudut tanggungjawab penganjur, ambil pengajaran daripada peristiwa ini sebab sesuatu yang dikatakan baik dan bebas di negara luar tidak semestinya baik dan bebas di negara kita.
"Jadi tanggungjawab penganjur harus menilai sesuatu latar belakang sesebuah persembahan supaya bersesuaian dengan amalan budaya dan sensitiviti setempat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bicara ilmu pada Program Malaysia Madani-Seminar Pembangunan Modal Insan dan Sahsiah Diri di Kuala Ketil di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan kumpulan The 1975 yang membuat aksi kurang sopan dalam konsertnya di Good Vibes Festival 2023 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor, malam tadi.
Saifuddin berkata, walaupun hiburan adalah sesuatu yang biasa di negara ini, perlakuan yang ditunjukkan oleh kumpulan terbabit merupakan satu bentuk kehancuran nilai yang sama sekali tidak ada tempat di Malaysia.
Mengulas mengenai kata-kata vokalis kumpulan itu yang menyentuh mengenai undang-undang negara ini berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), Saifuddin Nasution berkat,a penghibur dari luar negara mempunyai tanggungjawab untuk belajar dan mengetahui mengenai undang-undang sesebuah negara.
"Peringatan kita adalah biarlah episod ini menjadi pengajaran semua. Saya tonton klip video itu yang dikirim kepada saya bertalu-talu, tak ada satu ayat yang dia sempurnakan melainkan dengan maki hamun dan mencarut. Kemudian secara terang-terangan menogok arak di khalayak dan melakukan perbuatan biadap yang langsung bercanggah dengan nilai dan budaya tempatan.
"Saya fikir mereka boleh menyampaikan atau menyuarakan mereka punya kekecewaan terhadap beberapa peraturan yang dianggap menyekat kebebasan dan sebagainya, tapi biar mereka tahu negara ini ada kedaulatan undang-undangnya," katanya yang turut menambah tidak ada mana-mana agama dalam negara ini dapat menerima perbuatan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!