Wajar pertahankan Aminuddin - Anwar
SHAH ALAM - Kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun wajar dipertahankan berdasarkan rekod prestasinya memimpin pada penggal yang lepas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga adalah bagi kelangsungan kerja bagi negeri tersebut.
Menurut beliau, perkara tersebut telah dibincangkan bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Setelah sampaikan pandangan kepada Ahmad Zahid, saya tekankan bahawa untuk kelangsungan kerja dan rekod prestasi Aminuddin, wajar pertahankan beliau 100 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Malam Pengumuman Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Padang Awam MBSA di sini pada Sabtu.
Beliau turut memaklumkan bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow wajar dipertahan berdasarkan prestasi mereka.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan bahawa Amirudin akan dikekalkan sebagai calon Menteri Besar Selangor sekiranya gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) memenangi PRN Selangor pada 12 Ogos depan.
Sementara, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memaklumkan Chow Kon Yeow akan dikekalkan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan negeri.
Tambah Anwar, kekuatan PKR adalah bukan hanya bergantung pada presiden, timbalan dan naibnya, malahan ia juga berdasarkan kepimpinan kerajaan negeri.
“Sebab itu saya dan Rafizi (Ramli) dan yang lain ambil sikap lebih keras (iaitu) menegur dan sebagainya untuk dapatkan prestasi yang lebih baik.
“Ini kerana harapan rakyat tinggi dan PKR itu parti reformasi. Jadi harus ada kesedaran dan kefahaman,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!