Tiga laporan polis diterima berhubung kumpulan The 1975

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga laporan polis diterima berkaitan perlakukan kurang sopan penyanyi kumpulan The 1975 dalam konsert yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada Jumaat.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mendapati insiden tersebut menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini.

"Tindakan kurang sopan yang dilakukan individu terlibat sekaligus memperlekehkan undang-undang negara ini.

"Setakat ini pihak polis telah menerima tiga laporan berkaitan insiden tersebut dan pihak terlibat akan dipanggil bagi siasatan lanjut berkaitan kejadian," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

"Siasatan secara terperinci sedang dijalankan dan masa sama pihak polis menyokong penuh tindakan pembatalan serta-merta konsert tersebut atas faktor keselamatan," katanya.

Pada Sabtu, polis memaklumkan pihaknya akan memanggil penganjur konsert kumpulan The 1975 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor berkaitan perlakuan kurang sopan vokalis kumpulan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan persembahan The 1975 di Good Vibes Festival 2023 dihentikan selepas vokalisnya Matty Healy menunjukkan pelbagai aksi kurang sopan di hadapan peminat.

Penyanyi tersebut didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

ARTIKEL BERKAITAN:

Aksi sangat biadab The 1975: Fahmi minta penganjur Good Vibes Festival 2023 beri penjelasan

Aksi sangat biadab The 1975: Pengunjung boleh tebus tiket kemasukan

Henti konsert The 1975 bukti kerajaan tegas - Penganalisis

Aksi sangat biadab The 1975: Polis panggil penganjur

Festival Good Vibes dibatalkan serta-merta - Fahmi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!