Akhbar tetap jadi pilihan pada era digital
SHAH ALAM - Surat khabar masih kekal relevan menjadi sumber berita terkini meskipun ramai pembaca kini terutama golongan muda lebih berminat membaca perkembangan isu semasa di platform digital.
Seorang pemenang minggu pertama Cabaran #Sinar17, Nurul Syaza Allya Yosri, 27, berkata, dia memilih untuk membaca berita di surat khabar kerana bahan disusun mengikut bahagian tertentu secara teratur.
Menurut suri rumah itu, kandungan surat khabar terutama melibatkan berita-berita utama lengkap dengan informasi tambahan berbanding berita di media sosial yang lebih ringkas serta santai.
“Sekarang sudah banyak portal berita di media sosial dan kadangkala tajuk tidak selari dengan isi berita. Sebab itu saya akan lebih suka baca surat khabar Sinar Harian.
“Dari sekolah menengah lagi saya suka baca surat khabar dan kalau habis di kedai dekat rumah, saya sanggup pergi cari di kedai kawasan lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Nurul Syaza antara tujuh peserta yang memenangi Cabaran #Sinar17 bagi minggu pertama sempena ulang tahun Sinar Harian ke-17 dengan tawaran hadiah RM100 setiap hari bermula 7 Julai hingga 31 Julai ini.
Peserta perlu memuat naik gambar mereka dengan akhbar Sinar Harian di mana-mana platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok dengan tag #Sinar17.
Seorang lagi pemenang, Nor Hanim Madi, 33, berkata, dia menggalakkan anak-anaknya membaca surat khabar kerana dapat membantu perkembangan minda mereka.
“Bila baca surat khabar, kami dapat membaca bersama-sama dan sudah pasti anak-anak pun akan jadi seronok dengan bertanya bermacam-macam soalan. Melalui cara itu juga, anak-anak jadi lebih berminat untuk membaca,” kata Nor Hanim.
Bagi pemenang yang juga pekerja penyelenggara, Hairulnizam Mad Safari, 33, pula memberitahu, surat khabar masih menjadi pilihannya dan ramai pembaca lain pada masa sekarang kerana mengumpulkan semua berita penting dalam satu akhbar cetak.
“Kalau di media sosial, kita baca apa yang kita nampak dan ambil masa mencari berita lain. Sebab itu baca surat khabar lebih mudah dan tenang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!