Puisi cinta Rahman Haji Yusof

Rasa kepiluan merajai puisi cinta Kutinggalkan Semalam Dalam Kenangan karya Rahman Haji Yusof (2023). Rahman
Rasa kepiluan merajai puisi cinta Kutinggalkan Semalam Dalam Kenangan karya Rahman Haji Yusof (2023). Rahman
A
A
A

RASA kepiluan merajai puisi cinta Kutinggalkan Semalam dalam Kenangan karya Rahman Haji Yusof (2023).

Bagaikan sebuah epos percintaan yang panjang, dan tampak berbeza dengan pengalaman orang lain.

Hambatan datang dari dalam diri, tersembunyi dan terendam basah.

Cinta patah membawa suatu kejutan, bukan misteri, namun perlu dipecahkan. Kumpulan ini mengandungi 81 kuntum puisi, yang ditulis sepanjang 2013-2015.

Gayanya romantis disandarkan pada peristiwa realistik. Mencitrakan percintaan yang halus tetapi bertentangan dengan rakus manusia. Rasa kemanusiaan dimusnahkan oleh tangan khianat.

Ungkapan perasaan peribadi penyair berdepan dengan petualangan cinta.

Penyair menaratifkan rasa pilu, tertekan dan sedih berhadapan dengan cinta yang malang. Ditinggalkan kekasih penuh rasa kesepian. Puisinya kaya dengan rasa tragis, juga sadis.

Pemikirannya dibungkus oleh takdir, nasib dan destini yang gelap, sangat sentimental, bagaikan menuju kekecewaan dan kehancuran. Teknik penyampaian penyair adalah mudah, tidak suka bersembunyi, dan waktu membacanya dengan cepat kita faham maksudnya.

Keseluruhannya bagaikan sebuah elegi, penuh dengan rintihan, menuju fatalisme percintaan. Meskipun demikian, tersirat nuansa alegori, beramanat supaya hati-hati dengan cinta yang palsu.

Wujudnya deskripsi psikologi cinta dan menumpangkannya gagasan sosial di dalamnya. Terserlah sikap penyair mengembangkan misi penderitaan itu, untuk memberi kesadaran kepada khalayaknya.

Keunikan dan originaliti imaginatif Rahman Yusof membawa keutuhan puisinya. Ketangkasannya memasukkan perasaan dan emosinya, mengasyikkan membaca puisi yang sarat dengan kepiluan itu.

Sejarah dukaku tak terceritakan

panjangnya berjela, berenda-renda

tak siapa mengerti dan peduli.

Hanya padamu, sayang

setiap ruang kesepian

kudakap cinta sucimu

yang kurindui.

Selepas kau pergi

gagal aku mencari ganti

dukaku merebak lagi

ke daerah sepi.

Diksinya bermuara dengan muram dengan vocal /i/ pada stanza akhirnya, mengajak khalayak untuk turut sama berduka, imaji kesedihan meminta simpati dan empati khalayak. Bahasa figuratif penyair mengungkapkan intensitinya secara hidup, memberi kekuatan, terasa harmoni pada komposisi puisinya.

Stanza terakhir dalam puisi “Kutinggalkan Semalam Dalam Kenangan”.

Usah kautanya lagi

masih adakah reja-reja cinta

semuanya sudah mati

berselerak kebencian

di sudut hati.

Himpunan leksikonnya semuanya melambangkan kedukaan, mencengkam rasa, memberikan gambaran yang tepat terhadap diri penyair, yang diikat oleh kedukaan yang sukar untuk dirungkaikan. Penyair memilih tipografi yang konvensional. Pola versifikasinya juga mengingatkan kita kepada rima pantun, dan setiap stanza akhir merupakan puncak ungkapan penyair. Kesatuan gagasan pada setiap bait dibentuk oleh kesatuan baris, yang membentuk struktur sintaksis.

Pokok utama puisinya dipelihara oleh nada percintaan yang muram. Biarpun perpisahan dengan kekasih tidak dapat dielakkan, dan penyair merasa kesendirian, ia tetap setia dengan cintanya:

Selagi jantung berdenyut

iman penyuluh rasa

selagi bulan di langit biru

dan bintang bertaburan

cintaku tetap

di bawah naungan-Mu.

Stanza akhir “jangan kausesali”

Lupakan semua yang hilang

tak usah dikenang impian yang terhalang

kau kekasih orang

aku orang terbuang.

Nada penyair sedih meratap, sedunya bercerita agar dukanya berakhir. Dipelihara dan dijinakkan nadanya sehingga terserlah sikap penyair yang sudah tidak mempercayai kejujuran cinta. Sebagai pembaca kita dapat merasakan perasaan penyair. Ingin memberikan harapan kepadanya, tetapi segalanya telah musnah. Dan penyair terkelu. Sehingga di penghujung kumpulan puisi ini kita merasai tangisannya. Malah dalam sajak “Ex” penyair bermimpi, zaman-zaman keindahan bercinta datang mendamba, penyair tidak mahu berpisah sedetik cuma.

Namun, semuanya musnah

lenaku terganggu

berkocak kolam rindu

senyum manisnya

bertukar

tangis dan sendu.

Kelebihan puisi Rahman Haji Yusof ini, penyairnya mampu menghidupkan suasana, mengambil nilainya dan memperbaharui menjadi puisi yang sesuai dengan zamannya.

Sesungguhnya, puisi cinta tiada pernah hilang zamannya.

Sajak-sajak itu membawa kita untuk merenung secara mendalam tentang hidup yang rutin, tetapi mengajak kita juga melakukan pembenrontakan terhadap kegelapan rasa cinta.

Secara intertekstual saya teringat kepada Imra al-Qais raja penyair Arab Jahiliah, kerana kekuatannya menulis puisi percintaan. Dirinya terhumban di gurun yang penuh batu pejal, mengenangkan kekasihnya yang pergi tanpa kata-kata. Rahma Haji Yusof mengakhiri puisinya dengan “Mengapa kasih terbelah dua”.

Hujan di kelopak malam

membasuh luka di jiwa

pedihnya terasa di lahad

kita bicara di syurga

mengapa kasih

terbelah dua.

Subjek cinta itu membina subjektiviti penyair, yang memperlihatkan kedirian individualnya. Jika dipelihara dan dikembangkan tidak mustahil akan menjelma sebagai sifat

individualisme kepengarangannya. Dari segi reka cipta Rahman Yusof sudah memilikinya, polanya mirip dengan soneta moden tetapi dibaluti oleh balada. Sementara gayanya yang romantis realistik itu, amat sesuai dengan puisi percintaan.

Bagaikan seorang artikek mempunyai ciri keperibadiannya melalui bangunan yang direkabentuknya, seorang penyair pun akan dikenal jati dirinya melalui karya yang dihasilkannya.

Cara penyusunan teks menggambarkan peribadi penulisan. Pengkaryaan yang sedemikian dapat menyuguhkan impak dan kesan kepada khalayaknya.

Karya unggul tidak lahir secara kebetulan. Semua karya unggul adalah hasil dari rahim suatu zaman, daripada sebuh peristiwa sejarah, dan memiliki implikasi yang sangat pragmatik.

Lahirnya tepat pada masanya, dan membentuk pandangan dunia serta dikagumi kehadirannya. Kutinggalkan Semalam dalam Kenangan karya Rahman Haji memiliki sifat karya yang unggul itu, terasa kesungguhan dan kesabaran penyair dalam menangani subjektiviti percintaannya.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!