Altimet diumum calon PKR Lembah Jaya
SHAH ALAM - Penyanyi rap, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali Altimet sah bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program pengumuman calon di Seksyen 7 di sini pada Sabtu.
Altimet yang ditemui selepas majlis tersebut meluahkan kesyukuran kerana diberikan kepercayaan membalas budi di Ampang.
"Alhamdulillah saya rasa sangat terharu diberi peluang untuk membalas budi kepada Ampang setelah lebih 13 tahun bermastautin di sana," katanya ringkas.
Beliau yang menyandang Ketua Cabang PKR Ampang turut menyatakan keyakinan mampu menawan Lembah Jaya.
"Saya telah diberikan tugas oleh Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari untuk menjadi Penyelaras di Lembah Jaya selama sembilan bulan sebelum pembubaran DUN.
"Dari situ, saya dapat peluang belajar gerak kerja sebagai ADUN dan kenali penduduk di sana. Walaupun saya bermastautin di Bukit Antarabangsa tapi hati saya untuk berkhidmat di Lembah Jaya," katanya.
Pada majlis itu seramai 20 calon PKR diumum akan bertanding di Selangor termasuk Menteri Besar Selangor yang kekal bertanding di DUN Sungai Tua.
Selain itu, seramai tujuh penyandang kerusi dikekalkan.
Mereka ialah Chua Wei Kiat (Rawang), Mohd Khairuddin Othman (Paya Jaras), Najwan Halimi (Kota Anggerik), Azmizam Zaman Huri (Pelabuhan Klang), Gunaraj George (Sentosa), Zawawi Ahmad Mughni (Sungai Kandis) dan Borhan Aman Shah (Tanjong Sepat).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!