Amanah terkejut BN letak calon di DUN Tepuh

Raja Kamarul Bahrin Shah
Raja Kamarul Bahrin Shah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Amanah Negara (Amanah) terkejut selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh ketika Majlis Pengumuman Calon BN PRN ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada malam Jumaat.

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ia kerana Mesyuarat Sekretariat Perpaduan Terengganu sebelum ini telah bersetuju memberikan kerusi itu kepada Amanah.

Jelasnya, Amanah juga tidak pernah memulangkan kembali kerusi DUN itu sebagaimana desas-desus mengatakan kononnya ia sebagai pertukaran bagi meletakkan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding di Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya kecil (PRK) Ogos depan.

"Kita tidak pernah memulangkan kembali kerusi DUN Tepuh kepada BN kerana ia telah dipersetujui bersama untuk diberikan kepada Amanah menerusi mesyuarat antara Pakatan Harapan (PH) dan BN pada Mei lalu.

"Saya sendiri pun tak pernah dengar dan tak diberitahu mengenai Nurul Izzah akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu kerana isu mengenai petisyen tempoh hari dikemukakan UMNO.

"Pada kita, mungkin juga kerusi bagi Parlimen itu diwakili calon mereka kerana mereka yang menang ke atas petisyen berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Ahad.

PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan selepas kemenangan calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya atas dakwaan wujudnya unsur rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu.

Pada PRU15 lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang dimenangi pada PRU14 dengan majoriti 40,907 undi.

Dalam pertandingan empat penjuru itu, Ahmad Amzad memperoleh 63,026 undi; calon BN, Datuk Mohd Zuber Embong (22,109); Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad daripada PH mendapat 10,946 undi dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar, 481 undi.

Sementara itu, ditanya sama ada Amanah akan mengumumkan calon bagi kerusi DUN Tepuh, Raja Bahrin berkata, kesemua kerusi yang akan ditandingi Amanah dalam PRN enam negeri akan diumumkan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam tempoh terdekat.

Jelas Raja Bahrin, setakat ini tidak boleh dikatakan berlaku pertindihan kerusi di DUN berkenaan malah beliau secara yakin memberitahu kerusi itu milik PH.

"Kalau nak tanya satu persatu saya boleh katakan dengan tepatnya setahu kita perjanjian terakhir antara kita dengan UMNO (PH dan BN) yang dipersetujui oleh UMNO adalah Tepuh diberikan kepada Amanah.

"Dalam isu 'pemulangan' kerusi ini sebenarnya tiada dan tidak berlaku kerana kita tidak 'dirujuk' langsung. Kita tak kata ada pertindihan, tapi tunggulah pengumuman presiden kita sehari dua lagi," ujarnya.

Raja Bahrin yang juga Pengerusi PH Terengganu berkata, walaupun UMNO telah mengisytiharkan calon DUN Tepuh dari parti itu, masih boleh berlaku perubahan sebelum hari penamaan calon pada 29 Julai depan.

Pada PRU14 lalu, kerusi DUN Tepuh dimenangi calon Pas, Hismuddin Abdul Karim dengan memperoleh 10,728 undi menewaskan pesaingnya dari BN, Basir Ismail yang mendapat 8,065 undi sementara calon PKR, Wan Hafizie hilang deposit dengan mendapat 1,002 undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!